suria

Jangan Pakai Gelaran Palsu - Zambry

Zambry Abdul Kadir (empat kiri) meninjau persekitaran tempat tinggal pasangan Lin Hon Sing, 76, (lima kiri) dan isteri, Loh Poh Ling, 65, (dua kiri) sempena sambutan Tahun Baru Cina di Jelapang. Foto: Bernama

IPOH: Semua pihak yang menerima pingat atau darjah kebesaran daripada pihak tidak diiktiraf kerajaan negeri Perak diminta supaya tidak memakai gelaran berkenaan, kata Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Menteri Besar Perak itu mendedahkan terdapat antara anugerah itu yang membawa gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’.

“Isu ini semakin menjadi-jadi. Saya minta semua mereka yang dianugerahkan agar tidak memakai gelaran yang diberikan.

“Kalau dari segi penganugerahan di Perak, hanya oleh Sultan Perak sahaja, tidak boleh daripada mana-mana pihak atau menggunakan nama (anugerah daripada) istana itu, istana ini,” katanya selepas meninjau persekitaran tempat tinggal pasangan Lin Hon Sing sempena sambutan Tahun Baru Cina di Jelapang.

Zamry berkata beliau sendiri pernah diajukan pertanyaan daripada pihak tertentu mengenai harga untuk mendapatkan anugerah serta gelaran tersebut.

“Ada yang tanya saya, (anugerah) boleh beli dengan berapa harga. Perak tidak pernah lakukan itu.

“Saya minta dan seru semua pihak yang terlibat dan berkeinginan untuk memiliki gelaran Datuk ini agar jangan terjerumus,” katanya.

Menurut Zambry pihaknya telah membuat laporan polis mengenai perkara itu. Pada 17 Januari lepas, sebuah akhbar tempatan melaporkan mengenai seorang individu yang ditabalkan sebagai ‘Maharaja Kinta’ dengan menggunakan gelaran ‘Yang Mulia Datuk Seri Paduka Diraja’ dalam satu majlis di Selangor hujung tahun lalu.

Selain itu, pasangan Lin Hon Sing, 76, dan isteri, Loh Poh Ling, 65, mengakui sambutan Tahun Monyet kali ini membawa kegembiraan kepada mereka apabila rumah yang mereka duduki sejak 50 tahun lalu akan diganti baharu. 

Artikel Berikut

Kapal Layar Dihanyut Ombak Kuat

Artikel Lain