suria

20 Rumah Musnah Terbakar Di Kuala Perlis

Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran yang berlaku di Taman Pelangi, Kuala Perlis pada Isnin. Foto Bernama

KANGAR: Sebanyak 20 buah rumah panjang musnah dalam kebakaran di Taman Pelangi, Kuala Perlis di sini petang Isnin, melibatkan lebih 60 penghuni. 

Pengarah Bomba Perlis Fadzil Haron berkata, kejadian itu merupakan terbesar tahun ini, dan kesemua mangsa adalah mereka yang pernah terlibat dalam insiden kebakaran besar di Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis pada 2004. 

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.18 petang dan tindakan pantas bomba berjaya mengawal kebakaran dari merebak ke deretan rumah lain pada 6.15 petang.

"Siasatan awal mendapati kejadian tidak melibatkan kehilangan nyawa, hanya dua mangsa cedera ringan di kepala akibat dihempap kayu ketika cuba menyelamatkan barangan rumah," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Fadzil berkata, operasi memadamkan kebakaran itu melibatkan tujuh jentera dari Balai Bomba Kangar, Kuala Perlis, Simpang Empat dan Arau serta 31 anggota, sementara punca kebakaran masih dalam siasatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Anggota Parlimen Arau, turut melawat lokasi kejadian.

Kesemua mangsa kini ditempatkan di pusat penempatan sementara di Sekolah Kebangsaan Kuala Perlis. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain