suria

Salad Dicemari Salmonella Dari Australia Tidak Dieksport Ke Malaysia

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Produk salad dari Australia yang dilaporkan dicemari bakteria Salmonella tidak dieksport ke negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, produk berkenaan hanya dieksport ke Singapura, Hong Kong dan Thailand.

"Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan (Infosan), Jabatan Pertanian dan Sumber Air Australia mengenal pasti konsainan produk terbabit yang dieksport ke negara berkaitan dan mengambil tindakan kawalan," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Salmonella adalah sejenis bakteria yang boleh mengakibatkan seseorang itu mengalami cirit-birit, demam dan sakit perut, selain menyebabkan loya, muntah, sakit kepala serta sakit otot.

Sebelum ini, laman sesawang Piawaian Makanan Australia New Zealand (FSANZ) pada 5 Februari lalu, menyiarkan penarikan balik kumpulan tertentu salad prabungkus jenama Wash N Toss, Woolworths, Coles, Supa Salad dan Clear Film keluaran Tripod Farmers, Australia bertarikh luput sehingga 14 Februari 2016 kerana dicemari bakteria Salmonella.

Dr Noor Hisham berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, Kementerian Kesihatan mengenakan larangan import terhadap produk salad Australia mulai Ahad.

"Kementerian Kesihatan sentiasa menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan ke atas isu berhubung keselamatan makanan bagi memastikan kesihatan orang ramai sentiasa terjamin," katanya.

Sekiranya pengguna masih ragu dengan status keselamatan makanan yang terdapat di pasaran tempatan, beliau menasihatkan mereka membuat laporan kepada kementerian melalui Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat.

Selain itu, katanya pengguna juga boleh melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq. - Bernama

Artikel Sebelum

Ikan Paus Terdampar Di Pontian

Artikel Berikut

Artikel Lain