KUCHING: Jumlah mangsa banjir di daerah Kuching dan Bau meningkat kepada 2,679 orang setakat 5 petang Selasa, berbanding 2,501 mangsa pada tengah hari. Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Sarawak, Siti Huzaimah Ibrahim berkata, 14 pusat pemindahan dibuka di daerah Kuching dan lima pusat pemindahan dibuka di daerah Bau. "Mereka terdiri daripada 694 keluarga," katanya ketika dihubungi Bernama. Sementara itu tinjauan Bernama di Kampung Batu Kitang mendapati anggota bomba memantau paras air di sungai berdekatan kampung itu. - Bernama