SETIU: Dua pelajar sekolah menengah di sini dilapor melanggar seorang pegawai polis cawangan trafik di Bandar Permaisuri pada Isnin. Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Elias Abu Bakar berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang ketika mangsa iaitu Inspektor Wan Zulkuflay Wan Mohamad, 55, bersama anggotanya sedang menahan sebuah kereta yang melakukan kesalahan trafik berdekatan persimpangan lampu isyarat. Beliau berkata, pada ketika itu dalam Ops Selamat tersebut, datang sebuah motosikal yang ditunggang dan dibonceng oleh dua pelajar berkenaan yang masing-masing berumur 17 tahun dari arah bandar. “Mangsa mengangkat tangannya untuk memberhentikan motosikal berkenaan, namun penunggangnya tidak berhenti sebaliknya terus memecut motosikal itu sehingga melanggar mangsa," katanya. Elias berkata, akibat pelanggaran itu mangsa terjatuh di tengah jalan dan cedera di tapak tangan, siku dan bahu. Kedua-dua pelajar telah ditahan sejurus kejadian dan akan direman, katanya. - Bernama