suria

SKMM Siasat Notis Parodi Badut

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menjalankan siasatan terhadap notis parodi yang memberi amaran kepada orang ramai berhubung tindakan menghina pemimpin negara, menggunakan nama SKMM.

Pengarah Komunikasi Strategiknya Sheikh Raffie Abd Rahman berkata notis itu, yang dikeluarkan oleh aktivis Fahmi Reza, adalah '100% palsu'.


"Kami tidak pernah mengeluarkan nasihat seperti itu. Terutamanya dengan cara sebegitu," katanya ketika dihubungi.

Notis palsu itu yang telah tersebar sejak Sabtu, menunjukkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah disunting.

Gambar itu disertakan dengan amaran:

"Orang ramai diberi amaran supaya berhenti menyebarkan gambar-gambar pemimpin negara yang telah diubahsuai menyerupai badut seperti dalam gambar di atas menerusi laman sosial termasuk aplikasi 'Whatsapp'.

"Adalah menjadi satu kesalahan bila berkongsi atau menyebarkan kandungan sedemikian kerana ia melanggar undang-undang negara khususnya Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika didapati bersalah, hukumannya adalah denda tidak melebihi RM50,000 dan/atau tidak lebih satu tahun penjara."

Notis itu mula tersebar selepas ia dimuat naik oleh Fahmi di Facebook dan akaun Twitternya.

Sebelum ini beliau memberitahu bahawa dirinya berada di bawah pengawasan polis kerana memuat naik gambar Najib yang disunting sebagai sebahagian daripada kempen anti-Akta Hasutan.

Sheikh Raffie berkata walaupun aktivis itu telah mengakui bahawa ia adalah parodi, siasatan masih dijalankan.

"Walaupun parodi, ada hadnya," katanya.
SKMM, notis parodi, badut

Artikel Sebelum

Artikel Lain