suria

Ambulans Terperangkap Dalam Kesesakan Disebabkan Pesta Belon Udara Panas

Keadaan sesak di sepanjang Jalan Residensi pada Selasa.

GEORGE TOWN: Sebuah ambulans yang dalam perjalanan dari Jalan Residensi menuju ke Hospital Pulau Pinang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas kerana sepanjang laluan tersebut sesak dengan kenderaan yang berkunjung ke Pesta Belon Udara Panas Pulau Pinang 2016 di Padang Polo.

Kenderaan diletak sesuka hati di sepanjang jalan menuju ke Padang Polo, Jalan Ross dan Jalan Scott menyebabkan kesesakan teruk di laluan tersebut.

Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Pulau Pinang, Lim Thoon Deong berkata ahli lembaga pengarah dan beberapa individu prihatin telah memantau keadaan laluan di sana sejak dua hari lalu, memberikan perkembangan terkini secara kerap.

"Saya percaya terdapat seorang pesakit di dalam ambulans kerana lampu amaran kecemasan dihidupkan.

"Saya tidak tahu berapa lama ambulans itu terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas tetapi gambar di dalam WhatsApp yang dihantar kepada saya diambil pada pukul 7.20 malam," katanya.

Lim berkata keadaan trafik sama teruk pada malam Rabu kerana orang ramai datang menyaksikan pesta belon tersebut dan pertunjukan bunga api.

"Kenderaan juga diletakkan di tempat letak kereta hospital, mengehadkan kemudahan tersebut kepada mereka yang datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan atau melawat ahli keluarga.

"Keseluruhan tempat jadi tidak teratur.

"Apa sahaja yang kerajaan negeri dakwa berlaku ternyata bertukar menjadi tidak benar. Mereka kata ruang letak kereta perlu disediakan dan lalu lintas akan menjadi lebih terkawal tetapi sebaliknya berlaku.

"Saya harap acara ini tidak diadakan di sini tahun depan kerana lokasi penganjurannya tidak sesuai sama sekali. Hospital terletak hanya 50 meter dari lokasi acara tersebut.

"Saya berharap tiada nyawa dalam bahaya hanya disebabkan acara ini," katanya.

Pada Khamis, Lim berkata tinjauan yang dilakukan ahli lembaga itu menunjukkan daripada 396 responden yang ditemubual, hanya empat yang berkunjung ke pesta di Padang Polo itu.

"Adalah penting lokasi penganjuran pesta itu ditukar kerana Padang Polo diwartakan sebagai kawasan pendaratan kecemasan untuk helikopter dan kebanyakan pihak membantah pesta tersebut diadakan di sana," katanya kepada pemberita di Hospital Pulau Pinang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain