suria

Bengkel Kereta, Stor Alat Ganti Hangus

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Dua unit premis dua tingkat yang menempatkan bengkel membaiki kereta dan pejabat serta stor alat ganti kereta di Jalan Industri Miel Mukim Batu Muda di sini, hangus dalam kebakaran pada petang Selasa.

Penolong Penguasa Bomba Kuala Lumpur Husaini Mahidin berkata kejadian 4 petang itu menyebabkan pejabat dan stor menyimpan alat ganti kereta di tingkat atas bengkel berkenaan, terbakar sepenuhnya.

"Api marak dengan cepat menyebabkan kebakaran merebak ke bahagian bengkel di tingkat bawah yang turut terbakar 70 peratus.

"Bagaimanapun, pekerja bengkel itu sempat menyelamatkan enam buah kereta yang berada dalam bengkel daripada terbakar," katanya ketika dihubungi.

Husaini berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.10 petang dan seramai 29 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gombak Selatan, Sentul, Hang Tuah, Wangsa Maju, Rawang dan Selayang bersama sembilan jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

Katanya api dapat dikawal sepenuhnya pada 6.26 petang.

Beliau berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel Lain