PETALING JAYA: Bekas menteri Kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz pada Rabu berkongsi petikan kata-kata daripada Mahatma Ghandi yang dilihat sebagai reaksi balas kepada beberapa pemimpin Umno yang mengkritiknya. Kata-kata berkenaan bermaksud menasihatkan seseorang itu supaya berpegang teguh kepada pendirian walaupun menerima tentangan. "Ramai orang terutama golongan jahil mahu menghukum kamu kerana bercakap benar, betul dan kerana menjadi diri anda. Jangan sekali-kali memohon maaf kerana betul atau kerana lebih ke hadapan daripada masa anda. Jika anda betul dan anda tahu, ikut fikiran anda. Walaupun anda adalah minoriti, yang benar tetap benar," demikian menurut kata-kata daripada posting berkenaan. Kata-kata berkenaan dipetik daripada tokoh terkenal disebalik kemerdekaan India, Mohandas Karamchand Ghandi atau lebih dikenali sebagai Mahatma Ghandi. Sejak akhir-akhir ini Rafidah dilihat sering mengkritik pentadbiran kerajaan menerusi posting di Facebook dan sidang media hingga menimbulkan kemarahan beberapa ahli politik. Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil turut menyelar tindakan Rafidah kerana mengkritik isu penukaran Menteri Besar Kedah yang disifatkannya telah menyangkal kepimpinan Presiden Umno. Menurut Shahrizat, beliau hairan dengan pendirian Rafidah yang dilihatnya kini sudah berubah dengan membuat pelbagai persepsi serta andaian terhadap isu dalaman parti dan kepimpinan negara. Selain itu Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan turut menyifatkan komen Rafidah mengenai kesetiaan parti sebagai 'aneh' berdasarlam tindakannya ketika pernah menjadi Ketua Wanita Umno. Abdul Rahman berkata, beliau melihat komen Rafidah adalah aneh kerana beliau sendiri semasa menjadi Ketua Wanita Umno tidak pernah bersuara mengenai dana parti dipegang proksi luar.