suria

UniMAP IPT Awam Pertama Miliki Panel Solar Jana Elektrik 1.0 MW

Gambar Hiasan

PAUH PUTRA: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjadi universiti awam pertama di negara ini memiliki panel solar dengan kuota tarif pemasangan yang mampu menjana 1.0 megawatt (MW) tenaga elektrik.

Panel solar tersebut dipasang di sebuah bangunan Univation di kampus tetap universiti itu di sini, dilaksanakan dengan kerjasama GetSol Sdn Bhd (GetSol), sebuah syarikat tempatan berkaitan pemasangan panel solar.

Menurut Naib Canselornya, Datuk Brig Jen Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin UniMAP menerima kuota berkenaan pada 12 Mac tahun lepas dan pemasangan kabel telah mencapai 80 peratus dan dijangka siap sepenuhnya Jun depan.

Beliau menyifatkan pencapaian itu memberi makna besar buat diri beliau kerana terpaksa melalui banyak proses dan prosedur panjang untuk memperoleh kuota tersebut. 

Katanya tenaga yang dihasilkan akan dikumpul dan dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) berdasarkan konsep Tarif Galakan (FiT), antara inisiatif untuk menjana pendapatan bagi menjimatkan kos bil eletrik setiap bulan.

"Ini adalah projek terakhir saya sebagai Naib Canselor setelah menerajui UniMAP selama 14 tahun yang penuh dengan suka dan duka," kata Kamarudin ketika berucap pada pra-pelancaran Panel Solar tersebut di sini, Rabu.

Turut hadir Pengarah Eksekutif GetSol, Todd Morath; Pengarah Urusan GetSol, Dr Gabriel Peter Salgo; Ketua Pegawai Ekesekutif UniMAP Holdings Sdn Bhd, Baharuddin Abdul Majid dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal.

Kamarudin berkata pemasangan solar panel itu akan membuka peluang kepada pelajar untuk meneroka lebih mendalam teknologi tenaga boleh diperbaharui dan sekali gus membolehkan kaedah pembelajaran amali dipraktikkan di UniMAP.

Selain menjana kewangan melalui sewaan tapak (bumbung bangunan) selama 21 tahun, melalui projek pemasangan panel, Getsol turut memberi kontrak penyelenggaraan kepada UniMAP Holdings, katanya.

Katanya Getsol juga memperuntukkan satu sistem solar bagi tujuan akademik dan penyelidikan yang membolehkan UniMAP menawarkan latihan amali dan sijil dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bagi program pemasangan solar yang diperakui dan penyelenggaraan solar.

Beliau berkata projek ini secara tidak langsung membuka peluang kepada UniMAP menjadi Pusat Kecemerlangan Tenaga Boleh Diperbaharui selain menjadi wadah bagi pelawat dan industri ke arah inisiatif memperkenalkan Kampus UniMAP Pauh Putra sebagai Kampus Alam.

Dr Gabriel pula berkata UniMAP dipilih kerana inisiatif dan kesungguhan Naib Canselornya mempratikkan amalan kampus hijau termasuk penglibatan aktif beliau sejak perbincangan bermula.-- Bernama


UniMAP, panel solar, GetSol

Artikel Lain