suria

83,777 Ibu Tunggal Berdaftar Sehingga Kini - Azizah

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun (depan, tengah) bersama ibu tunggal dari Kedah, Pulau Pinang dan Perlis selepas merasmikan Program Roadshow Pelan Tindakan Pemerkasaan Ibu Tunggal di Zon Utara di Auditorium Aras 1, Wisma Persekutuan Alor Setar, Khamis.

ALOR SETAR: Seramai 83,775 ibu tunggal telah mendaftar dengan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) sehingga kini, namun angka itu masih rendah jika dibandingkan dengan jumlah ibu tunggal di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata statistik Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 mendapati bilangan penduduk wanita di Malaysia adalah seramai 13.9 juta dengan 235,240 daripadanya ibu tunggal.

"Daripada 235,240 orang, hanya 83,775 ibu tunggal berdaftar dengan JPW, namun ramai tidak berdaftar dengan JPW kerana tidak tahu fungsinya, tidak mendapat pendedahan daripada persatuan ibu tunggal dan sibuk kerana perlu menyara diri dan keluarga.

"Jadi, kita mengambil pendekatan dengan turun padang berjumpa dengan ibu tunggal di kawasan terpencil selain mengadakan program pendedahan supaya tiada ibu tunggal yang ketinggalan. Apa yang kita sediakan bukan hanya dari segi kewangan, namun lebih bersifat ilmu yang membolehkan mereka berdikari," katanya kepada pemberita Khamis.

Terdahulu, Azizah merasmikan program Jelajah Pelan Pemerkasaan Ibu Tunggal Zon Utara yang bertujuan memberi perhatian dan sokongan dalam pelbagai bentuk termasuk ekonomi, sosial dan psikologi kepada golongan ibu tunggal.

Beliau berkata pelan tindakan itu merangkumi 19 langkah strategik yang berasaskan tiga teras utama iaitu memperkasa ekonomi ibu tunggal, meningkatkan kesejahteraan sosial ibu tunggal dan meningkatkan perlaksanaan penyelidikan dan penyelarasan pembangunan ibu tunggal.

Pelan tindakan itu dapat memberi maklumat kepada pihak kementerian tentang apa yang diperlukan golongan itu bagi memudahkan kita mengatur pelbagai program yang boleh memanfaatkan mereka," katanya.

Azizah berkata Kabinet juga bersetuju untuk memperluas definisi ibu tunggal dengan turut melibatkan wanita yang menjadi ketua isi rumah dalam perkahwinan, balu atau bercerai dan mempunyai anak yang belum berkahwin; wanita yang mempunyai suami yang tidak sihat dan tidak berkemampuan untuk bekerja dan wanita yang tidak pernah berkahwin tetapi mempunyai anak.

Ibu tunggal yang mahu mendaftarkan diri dengan JPW boleh berbuat demikian di www.mywanita.gov.my.-- Bernama

ibu tunggal, JPW, Azizah Mohd Dun

Artikel Lain