suria

Lebih 300 Penumpang Selamat Lokomotif Terbakar Dekat Kamunting

IPOH: Semua penumpang dan petugas tren Ekspres Rakyat 2, yang lokomotifnya terbakar semasa dalam perjalanan dari Johor Baharu ke Butterworth, Pulau Pinang berada dalam keadaan selamat.

Lokomotif yang membawa sembilan gerabak itu terbakar di Kampung Kuala Tanjung, dekat Kamunting kira-kira 80 kilometer dari sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Mohd Taufik Abd Sattar mengesahkan perkara itu berdasarkan pemeriksaan ke atas lebih 300 penumpang serta pegawai Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) di atas tren berkenaan.

Menurut Mohd Taufik pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu kira-kira pukul 8.43 malam sebelum sepasukan enam anggota bergegas ke lokasi kejadian yang turut dibantu oleh Balai Bomba dan Penyelamat Taiping.

"Semasa jentera tiba, kepala keretapi (lokomotif) itu telah 30 peratus terbakar dan kebakaran berjaya dikawal kurang daripada 30 minit, tapi semua penumpang selamat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Khamis malam.

Sementara itu, Pengurus Kanan Pemasaran KTMB Mohd Noordin Kimi ketika dihubungi berkata semasa kejadian terdapat lima petugas syarikat termasuk dua pemandu di dalam tren itu.

Beliau berkata kecekapan dan kepantasan petugas KTMB yang memisahkan segera gerabak dengan lokomotif yang terbakar sekali gus mengelak daripada berlakunya perkara tidak diingini.

"Sebaik mereka sedar ada kebakaran pada bahagian lokomotif, pemandu terus berhenti dan pisahkan dengan gerabak untuk mengelak api daripada terus merebak," katanya.

Menurut Mohd Noordin semua penumpang akan meneruskan perjalanan ke Butterworth menggunakan tren yang sama selepas lokomotif gantian tiba dari mana-mana stesen di utara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain