IPOH: Seramai 7,000 anggota polis akan ditugaskan untuk mengawal keselamatan sepanjang berlangsungnya proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 nanti. Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim berkata pilihan raya negeri itu adalah dibawah skop KDNKA dan polis sedang menyediakan jumlah keanggotaan yang mencukupi. "Kami telah mengadakan beberapa mesyuarat. Ketua Polis Negara pergi ke Sarawak dan berbincang dengan ketua polis di sana mengenai cara untuk menggerakkan anggota semasa pilihan raya negeri itu nanti. "Kerajaan sedang cuba untuk menjimatkan wang tetapi kita masih boleh membawa anggota dari Sabah dan Semenanjung Malaysia," katanya pada sidang media selepas lawatan ke Kem Pasukan Gerakan Am, Briged Utara di Ulu Kinta pada Jumaat. Mohd Fuad berkata mereka telah menjalankan satu latihan ketenteraman awam baru-baru ini dan lebih banyak akan diadakan sebelum pilihan raya negeri. "PRN Sarawak sentiasa aman tetapi kami masih perlu mempersiapkan diri untuk berdepan sebarang kemungkinan," katanya. Pada 30 Januari lalu, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem membuat kejutan apabila mengumumkan hari pengundiaan bagi pilihan raya negeri itu akan diadakan pada 30 April manakala hari penamaan calon pada 18 April.