suria

Ugut Sebar Gambar Bogel Bekas Kekasih, Penganggur Didenda RM4,000

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang penganggur memeras ugut untuk menyebarkan gambar bogel bekas teman wanitanya berakhir dengan hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, Jumaat.

Majistret Husna Dzulkifly menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Shazarul Ikhmal Rospisham, 20, selepas dia mengaku bersalah atas dakwaan memeras ugut mangsa berusia 19 tahun itu, yang bekerja sebagai pelayan restoran, menghantar gambar bogel gadis itu bagi mendapatkan wang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Jalan Tun Razak di sini pada 12.00 tengah malam, 10 Januari lepas dan didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda dan sebatan. 

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan. Tertuduh membayar denda itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam supaya memberi pengajaran kepada tertuduh kerana perbuatan pemerasan tidak bermoral itu mendatangkan trauma kepada mangsa. 

Peguam Zulkifli Awang yang mewakili Muhammad Shazarul Ikhmal, memohon supaya hukuman penjara tidak dikenakan ke atas anak guamnya dengan alasan tertuduh akan melanjutkan pengajian dalam jurusan automotif di sebuah kolej swasta selain dia telah menyesal dan insaf dengan perbuatannya itu. 

Mengikut fakta kes, mangsa menerima 20 keping gambar bogelnya daripada tertuduh melalui aplikasi Wechat.

Tertuduh kemudian meminta wang sebanyak RM200 bagi setiap keping gambar dan mengugut akan menyebarkan gambar bogel itu sekiranya permintaannya tidak dituruti. -- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain