suria

Tun M Penaung Kumpulan Pendesak Umno

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad diumum sebagai Penaung Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) iaitu kumpulan pendesak dalam Umno.

Bekas perdana menteri itu menyatakan persetujuan untuk dilantik selepas mengadakan pertemuan dengan 21 Ahli Jawatankuasa GKCM di pejabatnya di Yayasan Al Bukhary pada Jumaat.

"Tun melahirkan rasa bangganya terhadap kemajuan yang dicapai oleh GKCM dalam masa yang singkat.

"Tambah membanggakan ialah GKCM adalah kumpulan yang berani bersuara bagi menyatakan kebenaran di dalam Umno sendiri," demikian menurut kenyataan GKCM pada Sabtu.

Selain itu sekretariat GKCM berkata, pada pertemuan berkenaan Dr Mahathir mengulangi kebimbangannya mengenai nasib golongan intelektual yang semakin terhakis dalam Umno.

"Kehadiran GKCM berjaya mengimbangi golongan yang telah banyak merosakkan parti.

"Tun juga berharap GKCM dapat membantu menguatkan parti setelah hilangnya kepercayaan ahli dan masyarakat umum terhadap Umno yang kini dilanda masalah kepimpinan yang meruncing," katanya.

GKCM diaktifkan sejak November tahun lalu bagi mendesak Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatan susulan skandal kewangan dan beberapa keputusan kontroversi termasuk menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri.

Dr Mahathir Mohamad, GKCM

Artikel Lain