GEORGE TOWN: Restoran nasi kandar popular Line Clear di Jalan Penang di sini akan dibuka semula esok selepas pengurusan lama mengosongkan premis berkenaan sejak Khamis lepas. Pengurusan baharu restoran itu yang juga pemegang lesen, Abdul Latiff Ali Thulkarnai, 55, berkata pihaknya akan menyediakan masakan lauk pauk mengikut resepi turun temurun dengan menggunakan rempah giling buatan sendiri yang asli. "Alhamdulilah, semuanya telah selesai dengan cara baik dan yang penting, sekarang ini kami akan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap restoran warisan turun temurun ini," katanya kepada pemberita selepas kenduri kesyukuran sempena pembukaan semula restoran itu di sini, pada Ahad. Kontroversi perebutan hak pengendali restoran itu tercetus pada 2010 selepas pengendali sedia ada, Abdul Hamid Seeni Parkir, 67, dikatakan enggan mematuhi sistem penggiliran iaitu setahun sekali bagi setiap empat pewaris restoran Line Clear itu yang ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). Bagaimanapun, kontroversi itu yang berlangsung selama lima tahun menemui jalan penyelesaiannya selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 21 Januari lepas menolak permohonan Abdul Hamid untuk membatalkan perintah MBPP berhubung sistem penggiliran itu dan memerintahkannya mengosongkan premis berkenaan dalam tempoh tiga minggu. Restoran nasi kandar Line Clear ditubuhkan sejak 1950-an dan ketika itu sistem penggiliran telah pun dilaksanakan tanpa sebarang perbalahan. Abdul Latiff Ali berkata beliau akan memperkenal semula beberapa menu yang pernah menjadi pilihan pelanggan restoran berkenaan dan dua jenis menu baharu iaitu ayam masala dan daging kicap yang mempunyai keistimewaan tersendiri. "Ketika ini, terdapat lebih 20 menu lauk nasi kandar dan kami akan perkenalkan beberapa menu baharu. Selain itu, pengurusan baharu sekarang ini turut mengekalkan tiga tukang masak yang telah bekerja lebih 20 tahun di sini," katanya. Menurutnya pada masa imi, ada 15 pekerja lama masih berkhidmat di restoran itu. Sementara itu, seorang pelanggan Badli Iskandar Ahmad, 35, berkata beliau merupakan pelanggan tetap di restoran nasi kandar berkenaan setiap kali datang bercuti ke Pulau Pinang sejak 10 tahun lepas kerana keistimewaan kari kepala ikannya. Pegawai bank itu, yang tinggal di Shah Alam, Selangor berkata beliau bercuti di negeri ini sejak Jumaat dan kecewa selepas mendapati restoran kegemarannya itu tutup sebelum semalam dimaklumkan ia akan dibuka hari ini sempena kenduri kesyukuran. "Hari ini, saya dan keluarga datang semula ke Line Clear dan pekerjanya memaklumkan pengurusan baharu mengadakan kenduri kesyukuran lalu meminta saya masuk untuk menjamu selera. "Saya harap restoran Line Clear ini akan terus beroperasi pada masa hadapan kerana lauk-lauknya sedap dan istimewa. Paling saya suka ialah masakan telur sotong dan udang harimau. Boleh dikatakan sesiapa sahaja yang datang ke Pulau Pinang akan makan di sini," katanya.