PETALING JAYA: Bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz berharap generasi muda negara akan tampil lebih baik berbanding golongan lampau dalam setiap aspek. Malahan, beliau dapat lihat adanya nilai murni menghargai negara dalam diri setiap generasi muda negara seperti mana ditonjolkan filem Ola Bola. Menurut Rafidah, jalan cerita yang digarap menerusi filem itu mampu menyentuh sentimen dan emosi setiap rakyat yang menontonnya. "Walaupun berasa empati dengan apa yang berlaku, mereka tetap mengutamakan negara dan masa depan. "Adalah diharap nilai murni ini dapat memberi motivasi kepada generasi muda untuk menjadi lebih baik daripada golongan terdahulu dan seterusnya dihormati dunia," katanya menerusi posting terbaharu di laman sosial, Facebook pada Ahad. Rafidah berkata, walaupun beliau sendiri belum berkesempatan menonton Ola Bola, dia merasai saat manis kejayaan negara ketika itu. "Saya masih ingat ketika itu keluarga berkumpul mendengar radio setiap kali berlangsungnya perlawanan bola sepak yang disertai negara. "Penyampai berkongsi pandangan mereka dan cuba sebaik mungkin untuk menggambarkan aksi perlawanan ke rumah pendengar. Kami hanya boleh membayangkan apa yang berlaku menerusi kata-kata penyampai dan ternyata mereka lakukannya dengan baik," katanya. Kata Rafidah lagi, ketika itu, pemain bola sepak melibatkan pelbagai bangsa dan negara sememangnya berbangga dengan pasukan kebangsaan. "Semuanya mengutamakan negara dan sukan yang mengeratkan hubungan rakyat. "Kami tidak kisah perbezaan latar belakang dan keturunan. Rafidah sama seperti Kam Woh, Jeya dan Pak Bee, semuanya generasi muda negara," katanya. Malahan, katanya, generasi lampau akan berkumpul bersama tanpa mengira agama dan bangsa juga mengenakan pakaian seragam sekolah yang sama.