KUALA LUMPUR: Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Tanpa Izin (Pati) akan dilaksanakan bermula Isnin hingga 31 Disember secara dalam talian. Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN), program yang bertujuan memberi peluang kepada Pati yang bekerja secara haram di negara ini diberikan permit kerja yang sah bagi memenuhi sektor pekerjaan yang dibenarkan, akan dipantau ketat. "Kerajaan mengenakan syarat-syarat yang ketat terhadap Pati dan majikan untuk menyertai program ini serta akan memastikan mana-mana PATI yang tidak layak akan dihantar pulang ke negara asal mengikut prosedur sedia ada bagi memastikan pengurangan lambakan Pati dalam negara," menurut KDN. Menurut KDN, program yang dirangka untuk memenuhi permintaan majikan untuk mengisi keperluan pekerja di sektor pekerjaan yang dibenarkan sahaja, adalah bertujuan bagi membolehkan kerajaan mengetahui jumlah Pati dalam negara bagi tujuan pemantauan dan memenuhi keperluan senario keselamatan semasa. Program ini akan dinilai sepanjang tempoh tiga bulan pertama, dari aspek keberkesanannya termasuk elemen nilai tambah yang wajar dikemas kini demi memastikan kelancaran pelaksanaan program tersebut bagi tempoh seterusnya, katanya. Beliau berkata, program penggajian dan penempatan semula Pati akan dilakukan dengan berhati-hati dan terkawal supaya tidak berlaku kes-kes penipuan oleh individu yang tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil peluang untuk mengaut keuntungan daripada Pati. "Mana-mana majikan yang didapati menggaji Pati tanpa berdaftar di bawah program tersebut akan dikenakan hukuman berat mengikut perundangan sedia ada melibatkan kesalahan menggaji Pati," menurut KDN. Menurut kementerian itu, antara syarat-syarat utama program itu adalah Pati perlu mempunyai rekod kemasukan asal secara teratur ke Malaysia, mempunyai majikan yang berkaitan serta bebas daripada sebarang rekod jenayah. "Selain itu, pelaksanaan program itu adalah tertakluk kepada sektor yang dibenarkan sahaja serta tidak termasuk sektor luar dasar atau sektor yang dibekukan oleh kerajaan," menurut KDN. Permohonan bagi program penggajian dan penempatan semula Pati boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal www.rehiring.imi.gov.my, dan syarat-syarat terperinci program tersebut boleh diperoleh di laman web sama. Sebarang pertanyaan mengenai program tersebut boleh dirujuk kepada Bilik Gerakan Jabatan Imigresen Malaysia pada setiap hari dari 8.30 pagi hingga 11 malam melalui talian 03-8880 1555. - Bernama