PADANG BESAR: Polis Perlis merampas sebiji bom tangan beserta sepucuk pistol buatan sendiri di stesen minyak Caltex di sini awal pagisemalam. Ketua Polis Perlis SAC Shafie Ismail berkata semasa anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara sedang melakukan pemantauan di kawasan tersebut, terdapat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang menolak motosikal mereka yang kehabisan minyak. "Hasil pemeriksaan lanjut pada badan dan beg suspek, polis menemukan sepucuk pistol buatan sendiri tanpa peluru, sebutir bom tangan M67, 0.7 gram dadah jenis syabu dan 16 kilogram daun ketum dibawa bersama mereka," katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar di sini, Isnin. Ekoran itu, Shafie berkata seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki wargaThailand terbabit ditahan pada pukul 12.45 pagi semalam untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 serta Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Katanya polis percaya bom tangan itu diperoleh dari Thailand kerana senjata itu tidak diguna pakai oleh mana-mana anggota keselamtan di negara ini dan polis kini sedang menyiasat tujuan suspek memiliki bom dan pistol berkenaan. "Hasil ujian air kencing mendapati kedu-dua suspek positif dadah. Lelaki warga Thailand berusia 24 tahun itu tidak memiliki rekod jenayah lampau manakala lelaki berusia 20 tahun dari Mata Ayer itu memiliki satu rekod jenayah berkaitan dadah," katanya. Polis juga sudah mendapat pengesahan daripada unit risikan khas bahawa pemilikan bahan letupan dan senjata itu tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan pemisah atau Daesh, katanya. Sementara itu, dalam serbuan berasingan pada hari yang sama, polis merampas dua buah kereta berisi pelbagai jenis mercun bernilai RM15,000 di Jalan Keselamatan KTMB, Padang Besar di sini pada pukul 6.30 pagi Ahad. Shafie berkata semasa serbuan, dua lelaki Melayu dan Cina sedang memunggah lapan buah kotak mercun ke dalam kenderaan jenis Toyota Wish berwarna perak danKia Spectra berwarna kuning emas. Mercun tersebut katanya dipercayai diseludup masuk dari Thailand. Kedua-dua suspek berusia 20-an itu ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, katanya.-Bernama