KUALA LUMPUR: Kehilangan Dr B.Sugumaran, pegawai perubatan kanan yang bertugas di klinik di bangunan Parlimen di sini, mula disedari pertengahan bulan lepas. Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata petugas-petugas Parlimen gagal menghubunginya selepas didapati tidak hadir bertugas di klinik itu. "Beliau tidak datang bertugas ketika persidangan khas mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di Parlimen pada 28 Jan lepas. "Sebelum itu, ada petugas memberitahu doktor itu tidak bertugas," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Khamis. Media melaporkan Dr Sugumaran tidak hadir bertugas hampir dua bulan dan Kementerian Kesihatan cuba mengesannya melalui keluarga dan telefon bimbitnya, namun gagal. Ronald berkata Sugumaran pernah menghubunginya pada akhir Disember lepas untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu. "Dua minggu selepas itu, saya cuba menghubungi telefon bimbitnya untuk nasihat berkaitan kesihatan namun gagal. Ketika itu, tanggapan saya mungkin beliau sedang bercuti. "Tidak sangka perkara ini terjadi. Bagi saya, beliau seorang yang tidak mempunyai sebarang masalah dan sangat baik orangnya," katanya. Ronald berkata pihak Hospital Kuala Lumpur telah meletakkan doktor ganti secara berjadual untuk sementara waktu bagi tugasan perubatan dan kesihatan di Parlimen.