suria

Lima Laluan Khas 'Sambut' Siti Nuraisyah Di SMK Bagan Terap

PETALING JAYA: Proses pembelajaran Síti Nuraisyah Shahrin, pelajar yang putus kedua-dua kaki akibat digilis lori bulan lalu dijangka berjalan lancar apabila beberapa bantuan khas telah dan bakal disediakan pihak sekolah.

Pegawai Pendidikan Daerah Sabak Bernam Mokhtar Manijo berkata, kehadiran semula Siti Nuraisyah, 13, dialu-alukan warga ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap, Sabak Bernam, sehubungan itu beberapa usaha dibuat bagi memudahkan pergerakannya.

“Kita sudah ada rancangan sementara menunggu Siti Nuraisyah hadir semula ke sekolah bagi meneruskan pembelajarannya bersama rakan-rakan lain.

“Setakat ini kita telah dapat kelulusan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor untuk laksanakan beberapa pelan bantuan, sama ada dari segi membina atau menaik taraf prasarana dan pengurusan kendiri,” katanya kepada mStar Online, Khamis.

Wajah terbaharu Siti Nuraisyah.

Menurut Mokhtar, pada masa ini kelas Siti Nuraisyah iaitu Tingkatan Satu Kuldi yang pada asalnya berada di tingkat empat bangunan sekolah telah dipindahkan ke aras bawah.

“Tandas juga akan dinaik taraf kepada tandas Orang Kurang Upaya (OKU) dan pintu serta tingkap kelas akan diganti,” katanya.

Mokhtar berkata bagi memudahkan pergerakannya semasa di sekolah, lima laluan khas dilengkapi jubin dan pemegang besi krom akan dibina.

“Laluan itu termasuk untuk ke kelas, tandas, surau, kantin dan tempat perhimpunan.  Kerja-kerja pembinaan sudah dimulakan dan ada yang sudah siap,” katanya.

Mengulas lanjut Mokhtar berkata, bantuan kepada Siti Nuraisyah tidak terhad kepada bantuan prasarana sahaja tetapi juga dari segi pengurusan kendiri, penyesuaian diri serta pengawalan emosi.

Katanya, mereka yang terlibat dalam usaha ini ialah guru-guru kelas Pendidikan Khas, rakan-rakan pelajar dan pengawas yang telah dilatih.

“Pelajar juga akan diberi bimbingan dan kaunseling oleh kaunselor berdaftar dan Penolong Kanan 1 akan memberi pengawasan khas terhadapnya,” katanya sambil menambah kelas tambahan juga akan diadakan untuk Siti Nuraisyah.

Sementara itu, bapa tirinya Roslan Sardi, 40, berkata beliau terharu dengan bantuan yang diberikan PPD dan sekolah dalam usaha membantu anaknya supaya dapat terus belajar dengan selesa.

"Sekolah sudah buat persiapan khas, saya sendiri dah tengok, memang cantik, cuma tunggu anak saya nak masuk sekolah semula," katanya.

Dalam pada itu Roslan berkata, beliau juga sedang sibuk membina kediaman yang lebih selesa untuk anaknya.

Mengenai perkembangan Síti Nuraisyah, katanya, keadaan anaknya kini bertambah baik tetapi tidak dapat menjangka bila akan dibenarkan keluar dari hospital.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang pada 18 Januari lalu, Siti Nuraisyah dan kakak tirinya, Shamin Amirah Roslan, 14, yang menunggang motosikal bergesel dengan sebuah kereta menyebabkan mereka hilang kawalan dan terjatuh.

Sebuah lori pasir dari arah bertentangan yang tidak sempat mengelak lalu menggilis kedua-dua kaki remaja berkenaan, manakala kakaknya yang tercampak ke bahu jalan terseliuh kedua-dua kakinya.

Ketika kejadian, kedua-dua mereka dari SMK Bagan Terap dalam perjalanan pulang ke rumah di Parit 16 Sungai Panjang, Sabak Bernam.

Síti Nuraisyah Shahrin

Artikel Sebelum

Suami, Isteri Maut Rempuh Bas

Artikel Lain