KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa memuji komitmen yang diberikan Datuk Ahmad Maslan sepanjang tempoh khidmat wakil rakyat dari Johor itu sebagai Ketua Penerangan Umno. Menurut Annuar yang baharu mengambil alih jawatan itu sejak akhir Januari lalu, Ahmad berjaya menjalankan fungsinya dengan baik ketika berhadapan serangan daripada musuh politik Umno. "Banyak perkara baik dan bagus telah dibuat yang saya pun tak terbuat. Datuk Ahmad Maslan terpaksa berfungsi sewaktu menerima peluru paling banyak. "Beliau diserang secara serentak. Saya beritahu Perdana Menteri yang saya bukan orang terbaik. Saya mungkin tak boleh buat sebaik Datuk Ahmad Maslan," katanya dalam temubual bersama mStar Online pada Khamis. Pada 29 Januari lalu, Majlis Tertinggi (MT) Umno mengumumkan pelantikan Annuar yang juga Ketua Umno Bahagian Ketereh sebagai Ketua Penerangan Umno bagi menggantikan Ahmad yang diberikan mandat sebagai Pengerusi Biro IT parti tersebut. Mengulas lanjut mengenai sumbangan Ahmad, Annuar turut menyifatkan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu sebagai seorang pemimpin yang kreatif. "Saya tak terbuat macam beliau buat dari segi penganjuran banyak program. Beliau kreatif menganjurkan bermacam-macam aktiviti. "Umno hari ini berada dalam hasil kerja beliau sebagai ketua penerangan, itu adalah fakta yang kita kena terima," katanya. Sebelum ini, Ahmad sering dikritik termasuk selepas mencadangkan supaya rakyat Malaysia menjalankan dua pekerjaan bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat. Beliau kemudian menjelaskan bahawa cadangannya itu dalam konteks agar rakyat menjalankan perniagaan dalam talian, selain pekerjaan tetap masing-masing. Malahan, kata Ahmad, beliau sendiri mempunyai tiga pekerjaan iaitu sebagai ahli Parlimen, timbalan menteri dan ketua penerangan Umno pada ketika itu.