LANGKAWI: Seorang wanita Bangladesh maut sementara suami dan dua orang anaknya cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah van di Jalan Pantai Kok di sini Khamis. Joynob Abedin, 32, dari Dhaka disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Langkawi selepas terlibat dalam kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 5.30 petang itu. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi, Penolong Penguasa Kanan Yaakob Hassan berkata suami Joynob yang masih belum dikenal pasti identitinya tersepit di tempat pemandu kereta yang remuk itu sementara dua orang anak mereka terhumban keluar akibat pelanggaran itu. Enam daripada lapan orang yang menaiki van berkenaan turut mengalami kecederaan parah. Kesemua mangsa dihantar ke hospital dengan sebuah ambulans dan beberapa buah kenderaan orang ramai yang melalui tempat kejadian berkenaan. - BERNAMA