suria

Tak Perlu Pengubahsuaian Bajet Buat Masa Ini - PM

Datuk Seri Najib Tun Razak
SAN FRANCISCO: Tidak ada keperluan bagi pengubahsuaian seterusnya Bajet 2016 buat masa ini kerana harga minyak mentah dijangka stabil sekitar AS$30-AS$40 setong, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata kerajaan mungkin menimbang mengubahsuai bajet sekiranya harga minyak jatuh di bawah AS$30 setong.

Nampaknya seperti harga minyak dijangka stabil pada antara AS$30 hingga AS$40 buat seketika ini," katanya kepada pemberita Malaysia di sini, Rabu (Khamis di Malaysia).

Bajet 2016 disediakan ketika harga minyak berada pada AS$48 setong, tetapi kerajaan mengubah suai bajet pada bulan lepas apabila harga minyak jatuh ke paras AS$32 setong.


Pengubahsuaian bajet pada Januari dilakukan bagi memastikan kebajikan rakyat dijaga dan pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh meskipun keadaan ekonomi global yang tidak menentu ekoran penurunan harga komoditi termasuk minyak mentah.

Pengubahsuaian itu termasuk menangguhkan projek pembangunan bukan keutamaan yang membawa kepada penjimatan sehingga RM9 bilion.

Najib berkata beliau mungkin pergi ke London pada Mei ini bagi bertemu pengurus dana dan pelabur dalam usaha untuk terus berhubung dengan pemain pasaran modal.

Semasa lawatan kerja selama seminggu ke Amerika Syarikat yang berakhir Rabu (Khamis di Malaysia), Najib bertemu dengan para pengurus dana yang menguruskan dana berjumlah sehingga US$7 trilion serta para pelabur di bandar raya ini pada hari akhir kunjungan beliau.

Artikel Berikut

Artikel Lain