suria

Program Deradikalisasi Malaysia Terbaik Di Dunia

Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUCHING: Program deradikalisasi yang dilaksanakan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Jabatan Penjara terhadap banduan yang terlibat dengan gerakan ekstremis, radikal dan Daesh, berjaya mencapai kejayaan yang amat memberangsangkan.

Keberkesanan program itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendapat pengiktirafan banyak pihak di peringkat antarabangsa dengan Malaysia turut dijadikan negara contoh yang paling berjaya dalam program deradikalisasi. 

Beliau berkata program yang dilaksanakan ke atas kira-kira 130 banduan daripada kumpulan itu mencapai kadar pemulihan yang tinggi, menjangkau sehingga 97peratus.

Katanya kumpulan banduan ini diasing semasa dalam tahanan supaya mereka tidak mempengaruhi banduan lain semasa melalui program berkenaan, dan hasilnya 97 peratus yang dipulihkan tidak lagi kembali terlibat dengan kegiatan tersebut.

"Ini kerana Jabatan Penjara ini tidak melakukan (pemulihan) dengan sendiri,mereka minta kerjasama banyak pihak termasuk Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), pakar-pakar psikologi, NGO (badan bukan kerajaan)," katanya semasa berucap pada sambutan Hari Penjara ke-226 di Padang Merdeka di sini pada Sabtu.

Ahmad Zahid berkata selain itu, program koreksional Jabatan Penjara juga menampakkan kejayaan yang amat membanggakan, apabila peratus banduan yang kembali ke kancah jenayah selepas menjalani hukuman didapati amat kecil sekali. 

Beliau berkata institusi penjara juga tidak seharusnya menjadi tembok pemisah yang meluaskan lagi jurang hubungan antara banduan dengan masyarakat, kerana mereka juga ada kehidupan yang perlu diteruskan selepas menjalani tempoh hukuman, dan harus disediakan untuk kembali ke pangkuan masyarakat.

Katanya ada juga banduan yang dilatih menghasilkan produk untuk di pasaran,dan ada juga kalangan mereka yang diberi upah, dengan wang upahnya disimpan untuk diserahkan kembali kepada mereka untuk digunakan selepas tamat tempoh penjara nanti.

Menurutnya tahun lepas produk keluaran Jabatan Penjara hasil tangan para banduan yang dipasarkan seperti kain songket, batik, kuih-muih dan pembuatan roti, menjangkau hasil sehingga RM32 juta, satu pencapaian yang terbaik.

Ahmad Zahid berkata kejayaan ini jugalah yang mendorong Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem meminta supaya program koreksional untuk banduan turut diperluas ke penjara di Sarawak.

Katanya beliau akan meminta supaya Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin mengkaji kerjasama di bawah NBOS di Sarawak untuk meninjau kemungkinan menempatkan pusat koreksional Jabatan Penjara di kem tentera di Sarawak agar usaha pemulihan banduan akan mencapai keputusan yang baik.-Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain