suria

'Dakwat Pun Belum Kering', Rafidah Persoal Langkah Beku Pengambilan Pekerja Asing

Tan Sri Rafidah Aziz
PETALING JAYA: Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz mempersoalkan tindakan kerajaan yang 'berundur' daripada keputusannya merancang membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh dalam tempoh tiga tahun.

"Semalam 18 Februari 2016 telah dimeterai perjanjian membawa masuk pekerja Bangkadesh seramai 1.5 juta orang untuk jangkamasa 3 tahun.

"Belum sempat kering dakwat di kertas perjanjian itu keluar pula kenyataan hari ini 19 Februari menyatakan bahawa 'Semua pengambilan pekerja asing, termasuk dari Bangladesh, dibekukan serta merta," kata Rafidah dalam posting Facebooknya, Jumaat.

Beliau mempersoalkan mengapa ada satu 'flip-flop' dengan dasar kerajaan.

"Tidakkah diteliti dahulu setiap cadangan,keputusan, dasar sebelum diumumkan?

"Tidakkah diadakan perbincangan dengan semua pihak yang berkaitan terlebih dahulu supaya setiap keputusan mengambil kira semua pertimbangan dan pandangan?

"Tidakkah dikaji segala kesan serta implikasi dari sesuatu cadangan itu dari semua aspek? Buruk dan baik? Wajar atau tidak? Contohnya kesan ekonomi, sosial dan sekuriti. Kos kapada negara dan lain-lain implikasi langsung dan tidak langsung," kata Rafidah.

Beliau mendakwa tindakan seperti ini akan menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap kerajaan.

"Sektor swasta keliru dan resah, serta sukar menerima apa jua yang kerajaan perkatakan dan menjadikan satu isu yang besar sebagai beban yang tidak sewajarnya.

"Sebenarnya ia boleh dielakkan jika setiap yang hendak dilakukan itu diteliti dan dikupas di meja perbincangan dengan secara objektif dan demi kepentingan negara yang sebenarnya," kata Rafidah.

Pembekuan pengambilan pekerja asing telah diumumkan pada Jumaat oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain