PETALING JAYA: Penceramah agama, Datuk Mohd Kazim Elias selesai menjalani prosedur angiogram di Makmal Kardiologi Invasif, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan. Prosedur bagi mengesan kecederaan yang dialami otot jantungnya itu bermula pukul 9 pagi dan selesai kira-kira satu setengah jam itu. Pegawai khasnya Rafi Rahman dipetik berkata, keadaan pendakwah yang dirawat di Wad Unit Penjagaan Koronari (CCU) itu stabil dan semuanya selamat. Laman media sosial Facebook milik anak kelahiran Perak yang lebih dikenali sebagai DUKE (Datuk Ustaz Kazim Elias) turut memuatnaik beberapa gambar sebelum pendakwah berusia 44 tahun itu menjalani prosedur itu. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Ashraf Wajdi Dusuki juga meluangkan masa melawat DUKE sblm prosedur Angiogram dijalankan ke atasnya. Kazim dimasukkan ke HUSM selepas mengadu sakit dada selepas kira-kira lima minit memberi ceramah di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Gunong, Bachok. Pada Sabtu, Kazim dilaporkan sudah boleh bercakap dan makan bubur walaupun masih dalam keadaan lemah.