SEPANG: Tiga pelajar dari Kolej Tunku Kurshiah (TKC) di Negeri Sembilan mengharumkan nama Malaysia apabila muncul sebagai antara pemenang pertandingan Asian English Olympics di Jakarta minggu lepas. Pelajar tingkatan empat Asma Mohd Jailani, 16, muncul juara di bawah kategori Penulisan Cerita Pendek, menewaskan 48 peserta lain, dengan ceritanya bertajuk "A Pinprick of Light". Beliau menggondol hadiah wang tunai RM1,500 (lima juta rupiah), piala dan sijil. Sementara itu, dua orang lagi pelajar TKC, Anis Nur Athirah Ahmad Sukari, 16, dan rakannya, Alyssa Sofea Ahmad Zahari, 17, muncul sebagai lima pemidato bakat baharu dalam kategori Debat. Ketika ditemui Bernama sekembalinya dari Jakarta pada Ahad, Asma berkata dia seolah-olah tidak percaya dan terkejut apabila namanya diumumkan sebagai pemenang kerana dalam pertandingan ini, beliau perlu bersaing dengan pelajar universiti dari negara-negara Asia. "Saya tidak naik ke pentas ketika nama saya diumumkan sehinggalah kawan-kawan saya memanggil nama saya dan memberitahu bahawa saya menang. Kemudian, barulah saya sedar bahawa saya menjuarai ertandingan. "Saya sentiasa mempunyai impian untuk menjadi seorang penulis atau pengarang walaupun menyedari kesukaran yang harus diharungi, dan berbekalkan impian itu, saya menulis cerita dengan bangga dan sukacita," kata beliau dan menambah ini kali pertama beliau menyertai pertandingan berprestij ini. Anis dan Alyssa, sebaliknya, berkata apabila dibelenggu keraguan, mereka memberi motivasi antara satu sama lain dan meniupkan harapan bahawa mereka mampu bersaing dengan pelajar peringkat universiti, dan dapat menandingi standard dengan keazaman dan keyakinan. "Kami berasa bangga dan kami juga mengharumkan nama TKC bangga apabila kami berdua ialah satu-satunya rakyat Malaysia dan pasukan sekolah tinggi yang bersaing dengan pelajar-pelajar universiti yang lebih berpengalaman," katanya. Ketika menyambut kepulangan para pelajar dan guru terbabit, Naib Presiden (Agama and Pendidikan) Kolej Tunku Kurshiah Datuk Hafsah Hashim berkata, pelajar-pelajar ini, kali pertama menyertai acara antarabangsa, telah dilatih dan dibimbing oleh tiga orang guru sejak Disember tahun lepas dan meletakkan bahasa Inggeris di tahap lebih tinggi pada pertandingan antarabangsa. "TKC berdiri sama tinggi di barisan hadapan di kalangan sekolah berasrama penuh. Oleh itu, pengetua Hamizan A.Hamid mahu para pelajar didedahkan kepada pertandingan antarabangsa dan berusaha ke arah kecemerlangan," kata Hafsah, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan SME. Bertemakan "Radiate Your Light", Asian English Olympics, yang diadakan dari 16 hingga 20 Feb disertai oleh lebih 500 peserta dari Indonesia, Singapura, Malaysia, Filipina, Hong Kong, Thailand, Vietnam, dan Macau. Mereka bertanding dalam kategori Debat, Penyampaian Berita, Scrabble, Penulisan Cerita Pendek, Ucapan, Spelling Bee, dan Bercerita.