suria

Ustaz Kazim Boleh Makan Bubur, Bercakap Tapi Masih Lemah

Rafi menafikan dakwaan berita kematian Ustaz Kazim yang menjadi viral di laman sosial.

KOTA BARU: Pendakwah Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias yang sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, mula menunjukkan perkembangan positif dan beransur pulih.

Pegawai khasnya Rafi Rahman berkata Mohd Kazim, 44, yang masih dirawat di Wad Unit Penjagaan Koronari (CCU) akibat penat dan sakit dada itu, sudah boleh bercakap dan makan bubur.

"Alhamdulillah, malam ini beliau sudah boleh makan bubur dan bercakap sedikit walaupun masih dalam keadaan lemah," katanya.

Rafi berkata diagnosis lanjut akan dilakukan pagi Ahad bagi mengesan punca sebenar yang menyebabkan beliau penat dan sakit dada.

Beliau berharap para peminat pendakwah tersebut dapat bersama-sama mendoakan kesihatannya agar pulih seperti biasa.

Rafi turut meminta semua pihak agar menghentikan penyebaran maklumat kononnya pendakwah itu meninggal dunia.

"Viral tersebut (melalui laman sosial) bukan perkara main-main tetapi melibatkan nyawa seseorang. Kami harap ia segera dihentikan agar tidak menimbulkan kekeliruan semua pihak," katanya.

Rafi berkata peminat Mohd Kazim boleh mendapatkan maklumat sahih perkembangan kesihatan pendakwah itu melalui laman facebooknya yang dikemas kini oleh beliau (Rafi) dari semasa ke semasa.

Mohd Kazim dimasukkan ke HUSM selepas mengadu penat dan sakit dada ketika sedang berceramah di perkarangan bangunan Pertubuhan Peladang Kawasan Sri Gunong, Bator, Bachok, 9.30 malam Jumaat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain