KUCHING: Sebanyak 15 buah sekolah di beberapa daerah di Sarawak ditutup hari ini akibat banjir, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid. Beliau berkata sebaik sahaja banjir surut, kerosakan yang dialami sekolah terbabit akan dinilai dan kerja membaiki kerosakan itu akan dilakukan dengan kadar segera. Mahdzir berkata demikian kepada pemberita ketika melawat Sekolah Kebangsaan (SK) St. David Bumbok, kira-kira 17km dari bandaraya Kuching, Isnin. Daerah Kuching, Serian, Samarahan dan Bau dilanda banjir yang menyebabkan sejumlah 7,965 daripada 2,051 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara setakat 12 tengah hari, Isnin. Mahdzir beramah mesra dengan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Tapang ketika melawat sekolah itu, Isnin. Sementara itu, Mahdzir berkata sebanyak 100 buah sekolah di seluruh Sarawak yang masih mengggunakan set generator akan disambung ke grid Sarawak Energy (SEB) bagi mendapatkan bekalan elektrik 24 jam. Mengenai perjumpaan beliau dengan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini, beliau berkata beberapa perkara berkaitan soal pendidikan dibincangkan termasuk bahasa Inggeris di sekolah.-- Bernama