suria

TMJ Jawab Kritik, Bikin Video Sindiran

PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjawab kritikan netizen berhubung tindakannya bersalaman dengan isteri pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim.

Selain itu menerusi posting di laman Facebook Johor Southern Tigers, turut disiarkan klip video berdurasi 16 saat menunjukkan Tunku Ismail bersalaman dengan dua wanita secara berlapik.

Bagaimanapun Tunku Ismail tidak memakai sarung tangan biasa sebaliknya bewarna hijau menyerupai tangan watak adiwira Hulk.

Terdahulu menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook sama, Tunku Ismail turut membidas sesetengah individu yang yang disifatkannya mahu menjadi 'Ustaz atau mufti negeri'.

"Hanya Allah boleh membuat keputusan sama ada amalan kita diterima atau tidak. Hanya Allah yang boleh menilai sama ada kita ke syurga atau neraka.

"Kita hanya manusia dan oleh itu tidak perlu menghukum orang lain terutama perkara-perkara kecil. Islam adalah tentang kasih sayang dan menghormati antara satu sama lain, bukan tentang menghakimi orang lain terutama apabila ia melibatkan kebencian," katanya pada Isnin.

Sebelum ini, foto isteri Safiq Rahim bersalaman dengan Tunku Ismail ketika meluangkan masa di kafe milik kapten kelab bola sepak itu mendapat kritikan daripada netizen.

Selain itu Tunku Ismail berkata beliau sentiasa berpegang dengan prinsip yang diajar sejak kecil selain berpandukan al-Quran.

"Saya juga akan berpegang kepada adat dan tradisi Melayu Johor saya kerana saya dilahirkan sebagai seorang Melayu Bangsa Johor.

Jika ada sebahagian dari anda yang mahu menjadi orang Arab dengan budaya mereka dan tidak ingin mengikut adat Melayu dan tradisi, terpulang kepada anda.

Sekurang-kurangnya saya menjadi diri sendiri dan bukan seseorang hipokrit, dan rakyat saya tahu siapa raja mereka sebenarnya," katanya.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim, JDT, TMJ

Artikel Sebelum

Artikel Lain