suria

Mekanisme Harga Unit Terkecil Bakal Diperkenal Tahun Ini - KSU KPDNKK

Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Kerajaan bakal memperkenalkan mekanisme baharu iaitu harga unit terkecil bagi membolehkan pengguna membuat pilihan dan perbandingan ketika membeli barangan yang ditawarkan dalam pelbagai sukatan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan  (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad berkata, ia adalah salah satu inisiatif untuk menjaga kepentingan pengguna, selain polisi harga tunggal (SSP) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini. 

Tambahnya, unit harga terkecil itu adalah label atau paparan harga bagi sukatan atau timbangan terkecil sesuatu produk yang akan diletakkan pada barangan sama yang turut dijual dalam kadar sukatan lebih besar.

“Sebagai contoh Milo ada yang dijual dengan sukatan 1.5 kilogram (kg), 1kg, 500 gram dan unit terkecil 250 gram. Jadi bagi bungkusan 1.5kg, perlu ada label berapa harga bagi 250 gram kerana ia adalah unit terkecilnya. 

“Jadi pengguna akan tahu dan membuat perbandingan yang mana lebih mahal dan lebih murah. Kalau nak yang lebih murah, sudah tentu kena beli yang ‘bulk’ (unit besar),” katanya kepada mStar Online dalam satu temuramah baru-baru ini.

Alias berkata, cadangan label harga unit terkecil yang memberi kelebihan kepada pengguna untuk mendapatkan penjimatan ketika berbelanja itu masih di peringkat kajian.

“Kita sedang kaji perkara ini, mungkin akan dilaksanakan tahun ini,” katanya sambil menambah cadangan itu mendapat persetujuan persatuan-persatuan pengguna.

Mengenai SSP, katanya, peniaga tidak perlu membuat perubahan atau konfigurasi terhadap sistem perisian perakaunan atau 'point of sales' (POS) apabila kerajaan melaksanakan polisi harga berkenaan tahun ini.

Menurut Alias, sebenarnya apa yang perlu diubah peniaga adalah harga barangan dan perkhidmatan dipamerkan kepada pengguna.

"Dalam POS atau mesin (juruwang) itu dah betul. Cuma harga yang dipaparkan di rak didapati harga lain dan tidak sama dengan POS. Harga yang peniaga paparkan lebih rendah.

“Perbezaan pada harga di rak dan di POS yang mengelirukan pengguna. Maka harga di rak itu yang perlu diubah apabila kita laksanakan polis harga ini nanti,” katanya sambil merujuk kepada harga termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Terdahulu, Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, SSP akan dilaksanakan selepas Aidilfitri Julai ini untuk menggelak kekeliruan dalam kalangan pengguna terhadap harga barang atau perkhidmatan yang dipamerkan oleh peniaga.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain