suria

Sumbang Mahram: Guru Dihukum Penjara 18 tahun, 10 Sebatan

- Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Seorang guru sekolah rendah dihukum penjara 18 tahun dan 10 sebatan kerana melakukan perbuatan sumbang mahram dengan seorang budak perempuan berusia tujuh tahun.

Mahkamah Rayuan yang disidangi oleh tiga orang hakim dipengerusikan oleh Hakim Datuk Seri Zakaria Sam membenarkan rayuan pihak pendakwa untuk mengetepikan keputusan membebaskan lelaki berusia 58 tahun itu atas pertuduhan kedua melakukan perbuatan sumbang mahram pada 2011.

Budak perempuan tersebut, ketika itu berusia tujuh tahun, lima bulan ialah anak kepada bekas isterinya hasil perkahwinan sebelumnya.

Hakim Zakaria menolak rayuan pendakwa terhadap pembebasan lelaki itu atas pertuduhan pertama tetapi membenarkan rayuan untuk mensabitkannya atas pertuduhan kedua.

Lelaki itu, bapa tiri budak perempuan tersebut ketika itu, dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Teluk Intan atas dua pertuduhan merogol dan keputusan membebaskannya dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh.

Lelaki tersebut yang akan bersara November ini, dilihat menggelengkan kepalanya dan memandang ke arah wajah isterinya sekarang yang duduk di galeri awam.

Ketika menjatuhi hukuman, Hakim Zakaria berkata mahkamah memandang serius kesalahan sumbang mahram.

Beliau berkata mahkamah mengambil kira bahawa mangsa berusia tujuh tahun ketika kejadian dan menambah dia terlalu muda untuk menanggung penderitaan akibat perbuatan mangsa.

Hakim Zakaria berkata lelaki tersebut, sebagai seorang dewasa dan guru sekolah harus bertanggungjawab melindungi kanak-kanak.
Panel itu juga disidangi oleh hakim Mahkamah Rayuan Datuk Zamani A. Rahim dan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamardin Hashim.

Lelaki itu, seorang guru pendidikan jasmani, didapati bersalah melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Tanjung Malim, Perak kira-kira 8 pagi pada 13 Jun, 2011.

Terdahulu, timbalan pendakwa rahya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail meminta mahkamah mengenakan hukuman berat ke atas tertuduh sambil berkata dia mengambil kesempatan ke atas seorang kanak-kanak tidak berdaya yang sepatutnya berada di bawah jagaannya.

Bagaimanapun, peguam Amirul Ridzuan Hanif mewakili lelaki itu merayu kepada mahkamah bagi hukuman penjara yang lebih ringan dengan mengambil kira faktor umur anak guamnya dan bahawa ia akan memberi kesan kepada kehidupan keluarganya dan juga dia akan kehilangan pencen.
sumbang mahram, bapa tiri, sebat

Artikel Lain