KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh berundur sekiranya tidak sehaluan dengan amalan parti selama ini, kata anggota Majlis Tertinggi parti, Datuk Seri Azalina Othman Said. Kecewa dengan tindakan Muhyiddin sekali lagi mengkritik Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka, Azalina berkata: "Sekiranya beliau benar-benar sudah tidak sehaluan dengan apa yang diamalkan Umno selama ini beliau boleh berundur atau mungkin juga boleh menawar diri untuk (bertanding) jawatan presiden dalam pemilihan parti akan datang". Dalam kenyataannya, Azalina berkata kesetiaan kepada pucuk pimpinan merupakan perkara utama yang menjadi amalan dalam mana-mana parti politik. Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata sebarang perbezaan pendapat atau pandangan perlulah melalui saluran yang betul agar tidak berlaku perpecahan dalam Umno. Menurutnya, sebagai orang nombor dua dalam Umno, Muhyiddin sepatutnya memainkan peranan sebaik mungkin bagi melicinkan kerja-kerja presiden parti. Azalina berkata tindakannya itu juga memberi contoh tidak baik kepada kepimpinan di peringkat akar umbi. Menurutnya Muhyiddin perlu ingat yang beliau masih lagi menjadi Anggota Parlimen Pagoh atas tiket Barisan Nasional (BN) dan jentera BN yang banyak membantu beliau selama ini. Katanya beliau seharusnya ingat jasa parti terhadapnya dan sebarang tindakan yang dilakukan mestilah tidak melemahkan parti dan membawa kepada perpecahan. Isnin lalu anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz meminta Muhyiddin meletak jawatan dalam parti jika beliau tidak lagi dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan sempurna.