ASSALAMUALAIKUM. Minggu lalu saya memaparkan kisah bantuan Maha Esa ketika saat kesusahan sewaktu hendak pulang ke tanah air. Perjalanan menaiki bas besar, berkeadaan baik dan masih baru sangat disyukuri. Malah, kehadiran bas sebelum azan Maghrib berkumandang menyebabkan saya terus berfikir mengenai kebesaran Allah yang Pengasih lagi Penyayang terhadap hamba-Nya yang diundang sebagai tetamu. Hati sedih meninggalkan kota suci Makkah. Semoga terus diundang lagi sebagai tetamu-Nya. Tiada tempat sehebat Makkah dan Madinah. Tarikan Baitullah begitu kuat. Kerinduan terhadap dua Tanah Suci sering menggamit. Semakin kerap dikunjungi, semakin kuat kerinduan di dalam hati. Saya termenung panjang dan fikiran terus melayang. Pemandu bas memasang video memaparkan kisah di Tanah Suci namun bukan semua jemaah memberi perhatian sebab ada yang tidur kerana keletihan. Saya tidak dapat melelapkan mata. Kelazimannya, selagi belum tiba di terminal haji dan urusan daftar masuk belum selesai, hati tidak begitu tenang. Kira-kira dua jam di dalam bas, kami tiba di terminal haji. Keadaan sesak agak ketara sejurus tiba di Jeddah tetapi disebabkan kecekapan pemandu berbangsa Indonesia, kesesakan lalu lintas dapat diatasi kerana beliau menggunakan laluan alternatif untuk ke terminal haji. Alhamdulillah. Sebelum tiba, saya menasihatkan jemaah agar mengambil troli sendiri dengan bayaran SR3 untuk setiap satu dan menolak bagasi masing-masing. Saya tidak menggalakkan mereka untuk mengupah orang lain atau porter di terminal haji yang akan mengenakan bayaran tinggi. Semua bagasi dikeluarkan dari bahagian bawah bas dan semua bagasi bimbit juga dibawa turun dari atas bas. Saya pula berhadapan dengan petugas terminal haji yang mahu melihat tiket dan jadual penerbangan. Setelah semuanya selesai, bas berlalu pergi dan kami pula memuatkan bagasi besar di atas troli. Saya meminta jemaah berkumpul di suatu tempat kerana saya perlu menguruskan pengambilan air zamzam di terminal. Gambar hiasan. “Mana nasi?” tanya saya tiba-tiba. Semua berpandangan. “Eh nasi tadi tiada,” ujar saya lagi. “Allahu Akbar. Saya tak angkat tadi hajah. Ada dalam bas lagi,” balas Haji Othman. “Ya Allah,” balas saya spontan. Saya terus menghubungi Adi, anak muda yang menguruskan bas dan memaklumkannya perkara yang berlaku. “Adi, nasi yang kami bawa tertinggal di dalam bas. Boleh kamu hubungi pemandu dan minta hantar semula ke terminal haji. Bas baru saja berlalu,” pinta saya. “Baiklah kak. Saya hubungi sekarang,” balas Adi ringkas. Tidak sampai lima minit, Adi menghubungi saya semula dan mengatakan bas tidak boleh berpatah balik ke terminal haji kerana sudahpun keluar dari kawasan terminal haji. “Bas dah keluar. Tak ada rezeki kita,” ujar saya kepada jemaah. “Maaf hajah. Saya benar-benar lupa. Dah ambil bagasi di bawah bas, terlupa yang di atas bas,” ujar Haji Othman dengan wajah bersalah. “Tak mengapalah haji. Nak buat macam mana. Bas pun tak boleh nak masuk lagi. Nasi tu bukan untuk kita. Rezeki orang lain,” balas saya. Terdahulu ketika di lobi hotel Retaj As-Safwah, saya mahu mengagihkan nasi yang dibekalkan oleh katering kepada setiap jemaah namun Haji Othman mengatakan tidak perlu dan biar dia bawa kotak berisi makanan itu di terminal haji dan diagihkan setelah tiba di situ. Malah, ketika di dalam bas menuju ke Jeddah, kak Siti Zabedah mencadangkan agar nasi itu diambil terus oleh setiap jemaah sebelum turun. Namun, Haji Othman yang berasal dari Terengganu dan sering menghulurkan bantuan mengatakan lebih mudah diagihkan di terminal haji dan beliau akan membawa kotak berisi pek makanan itu. Semua jemaah duduk di ruang menunggu manakala saya pula mengambil air zamzam. Saya menasihatkan mereka agar menunaikan solat Maghrib dan Isyak di terminal haji sebelum urusan daftar masuk. Sementara menunggu urusan daftar masuk, saya membeli roti di kiosk berhampiran dan memberinya kepada jemaah untuk mengalas perut. Ketika memberi roti kepada Haji Othman dan Sulong, jemaah dari Sarawak, Haji Othman berkata: “Macam manalah saya boleh lupa nak bawa nasi tadi. Memang tak teringat langsung,” ujarnya dengan wajah kesal. “Dahlah haji. Tak mengapa. Alhamdulillah, semua jemaah tak bising pun. Semua ada bawa makanan,” balas saya. “Kita kena ingat makanan itu bukan rezeki kita. Jika kita ingat begitu, senang,” ujar Sulong pula. “Betul. Dah bukan rezeki kita. Rezeki orang lain,” balas saya pula. Haji Othman mengangguk lesu. Saya berjalan menuju ke jemaah lain untuk memberikan roti yang masih berbaki di dalam kotak. “Allah Ana. Terima kasih banyak. Tak apa Ana, semua ada bawa makanan,” ujar kak Sarina. Ketika mengagihkan roti, saya lihat semua jemaah mengeluarkan makanan masing-masing dan saling menawarkan kepada jemaah lain. Alhamdulillah. mereka kelihatan mesra dan saling membantu. Tidak keterlaluan dikatakan, memang rombongan jemaah yang saya bawa pada masa itu tidak banyak karenah dan semuanya saling bekerjasama. “Ana, ni ada kek, ambillah,” ujar kak Siti Zabedah. “Terima kasih kak,” balas saya. “Ni roti yang kak bawa sebagai bekalan. Banyak ni. Ada lebih lagi. Ana sukakan,” ujar kak Sarina pula sambil menghulurkan roti yang dibawa dari hotel Le Meridien. “Terima kasih kak. Orang ni bagi sikit orang tu bagi sikit. Dah jadi banyak. Kenyang jadinya walau tak makan nasi,” balas saya tertawa kecil. Dalam hati saya berkata: “Inilah rezeki semua jemaah pada malam itu. Semua ada bawa bekalan makanan kecuali saya tetapi Alhamdulillah, ramai yang menghulurkan makanan untuk mengalas perut.” Tidak lama selepas itu, saya menuju ke kaunter daftar masuk dan mendapati sudah pun dibuka. “Assalamualaikum. Kita semua boleh bergerak ke dalam untuk urusan daftar masuk,” ujar saya kepada jemaah yang sedang berbual-bual. Gambar Hiasan. Semua bergegas menolak troli. Yang pasti semua tampak senang hati apatah lagi tiada satu bagasi pun melebihi muatan setelah ditimbang di alat penimbang di dalam terminal haji sejurus kami tiba. Semua saling bekerjasama. Saya meminta jemaah usia mas agar duduk sementara menunggu urusan daftar masuk selesai. Pada masa yang sama, saya memohon Haji Othman agar membawa troli air zamzam ke kaunter kerana saya perlu mendapatkan pas berlepas di depan kaunter. Segala-galanya berjalan lancar dan sejurus melihat urusan air zamzam disempurnakan di kaunter berasingan daripada bagasi, saya berasa lega. Pasport dipulangkan semula berserta pas berlepas dan saya meminta jemaah masuk ke dalam imigresen untuk urusan seterusnya. Setelah pasport saya dicop, saya berhenti di bahagian hadapan kaunter untuk menunggu beberapa jemaah. Dalam pada penantian itu, terdengar jeritan dari kawasan eskelator. “Astaghfirullah. Ada orang jatuh,” ujar saya sendirian. Warga Indonesia terjelepok di atas eskeletor. Semua berteriak memohon bantuan.Kakitangan terminal haji berlari menuju ke eskeletor untuk menghentikan pergerakan tangga itu. Wanita itu diangkat oleh waris dan jemaah lain. Khidmat eskeletor dihentikan untuk keselamatan jemaah lain. Kami dinasihakan menaiki lif berhampiran eskeletor. Saya juga menasihatkan jemaah saya agar menggunakan lif kerana hendak mendaki eskeletor tentu memenatkan apatah lagi dengan membawa bagasi bimbit. Semua akur. Setelah semua jemaah bergerak dan berkumpul di bahagian luar pintu masuk balai berlepas, saya memohon kak Shidah menjaga beg bimbit saya kerana mahu ke tandas dan menunaikan solat Maghrib serta Isyak. Tepat jam 2.30 pagi, kami berlepas pulang ke Malaysia. Ikuti catatan kembara umrah saya pada minggu hadapan, insyaAllah.