suria

Muhyiddin Berdepan Aduan Rasmi

Muhyiddin Yassin.

PETALING JAYA: Walaupun tanda-tanda menunjukkan Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal digantung sebagai Timbalan Presiden Umno kerana mengkritik Datuk Seri Najib Tun Razak, timbul beberapa persoalan bagaimana keputusan dapat dicapai pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno pada petang Jumaat.

Walaupun aduan rasmi biasanya perlu didengar oleh lembaga disiplin parti, pegawai parti berkata MT boleh mengelak melalui proses tersebut.

Mereka berkata MT mempunyai kuasa untuk membuat keputusan kolektif dengan segera terhadap kes tersebut kerana ia adalah badan pembuat keputusan tertinggi dalam Umno.

Kali terakhir ia berlaku apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada parti pada 4 September 1998.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan demikian ketika dihubungi, berkata MT sebagai badan pembuat keputusan tertinggi dalam parti boleh membuat keputusan mengenai perkara tersebut.

Dalam mesyuarat pada pukul 4 petang Jumaat, Ahli MT Umno, Datuk Seri Nazri Aziz akan membuat aduan rasmi terhadap Muhyiddin.

"Lembaga disiplin tidak boleh bertindak tanpa aduan rasmi dan jika aduan itu diterima oleh MT, maka perkara tersebut akan dirujuk kepada lembaga disiplin," katanya.

Artikel 9.8.2 Perlembagaan Umno menyatakan bahawa timbalan presiden perlu membantu presiden dalam menjalankan tugas-tugasnya.

Artikel 20.8 menyatakan bahawa setiap ahli antara lain perlu patuh dan menghormati keputusan parti dan menjaga nama baik dan maruah parti.

"Daripada cuba menyakinkan mereka untuk menyokong kepimpinan parti, Muhyiddin terus melemahkan presiden parti.

"MUhyiddin bukan sahaja mengkritik presiden tetapi pada masa sama, beliau menghasut ahli-ahli parti ketika bertemu beberapa pemimpin cawangan di Port Dickson baru-baru ini," kata Nazri.

Beliau merujuk kepada ucapan Muhyiddin pada Sabtu di Teluk Kemang, Negeri Sembilan di mana bekas timbalan perdana menteri itu mempertikaikan keputusan peguam negara tidak mengambil tindakan terhadap Najib berhubung isu dana politik RM2.6 bilion.

Peraturan parti juga menyatakan bahawa mana-mana ahli yang melanggar perlembagaan parti dan kod etika berdepan pelbagai hukuman termasuk amaran, penggantungan hak dalam parti, tidak benarkan bertanding apa-apa jawatan dalam parti atau dicalonkan dalam pilihan raya umum  atau dipecat daripada parti.

Ketika ditanya sama ada prestasi Umno akan terjejas di Johor sekiranya Muhyiddin digantung, Nazri berkata ia tidak seharusnya dibimbangkan kerana Muhyiddin tidak mewakili suara majoriti rakyat Johor.

"Sejak bila pula Muhyiddin mewakili Johor?

“Umno Johor dibawah kepimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Jika Khaled hubungi saya, maka itu adalah sesuatu yang berbeza," kata Nazri.

Semakin ramai pemimpin parti menyatakan sokongan secara terbuka terhadap tindakan Nazri termasuk rakan-rakannya dalam MT Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata seorang pemimpin Umno bertanggungjawab untuk setia kepada parti dan perlembagaan.

"Jelas sekali, tindakan timbalan presiden yang berkali-kali mengeluarkan kenyataan terbuka terhadap presiden parti memberi kesan kepada Umno," katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tampil mempertahankan rakan politik yang berdepan nasib sama apabila digugurkan daripada Kabinet tahun lalu.

Naib Presiden Umno itu mempersoalkan sama ada tindakan menggantung Muhyiddin seperti mana yang dicadangkan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Nazri Aziz akan menguatkan parti dan juga kerajaan.

"Adakah dengan mengambil tindakan terhadap Tan Sri Muhyiddin akan menguatkan parti Umno dan juga kerajaan?," soalnya.

Malahan, katanya, tindakan itu bagaikan jaminan bagi menguatkan pengaruh pemimpin tertentu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan