suria

Umno Sedia Hadapi PRU-14 Tanpa Sokongan Muhyiddin - Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Umno kini sedia bergerak ke hadapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) walaupun tanpa sokongan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai orang nombor dua dalam parti itu.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan menggantung jawatan Muhyiddin sebagai timbalan Ppresiden parti bertepatan kerana bekas timbalan perdana menteri itu gagal menjalankan tugas mengikut Perlembagaan Umno.

"Yang penting kita fikirkan apa yang baik untuk kesempurnaan parti kerana Umno tak boleh berjalan sekiranya ada penjawat jawatan tidak menjalankan tugas seperti yang ditetapkan Perlembagaan.

"Perkara 9.8.2.1 jelas menyatakan tugas seorang timbalan presiden adalah untuk membantu presiden. Jadi apabila didapati tidak membantu, maka sebagai sebuah parti yang mempunyai banyak peranan dan tanggungjawab, kita kena bergerak ke hadapan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato' Onn pada Jumaat.

Ditanya mengenai kesalahan yang dilakukan Muhyiddin, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata: "Seperti yang saya katakan tadi, beliau tidak membantu tugas-tugas presiden seperti yang dicatat dalam Perlembagaan."

Berhubung persoalan sama ada keputusan menggantung Muhyiddin akan menjejaskan peluang parti itu pada PRU-14 akan datang, Annuar bagaimanapun menolak tanggapan berkenaan.

"Kenapa nak beri kesan? Itu (PRU-14) bukan pertandingan dalam parti, langkah ini sebab nak mengukuhkan pilihan raya lah.

"Kita ada kerja nak dibuat, bagaimana kalau kita ada penjawat jawatan yang tidak melaksanakan tugas? Bagi kita ia keputusan yang terpaksa kita buat kerana parti perlukan disiplin, kerjasama dan tanggungjawab kolektif serta patuh kepada apa yang ada dalam Perlembagaan parti," katanya.

Artikel Sebelum

Selangor Hot Spot Denggi

Artikel Berikut

Artikel Lain