JOHOR BAHARU: Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Johor menzahirkan komitmen membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meningkatkan keberkesanan membanteras rasuah. Pertubuhan Masyarakat Prihatin Bumi Malaysia (PRIBUMI) Johor dan Persatuan Penulis-Penulis Johor (PPPJ) menyatakan komitmen itu dalam Program Dialog dan Santai SPRM Bersama NGO di Kompleks SPRM Johor, di sini. Ketua PPPJ Amad Bahri Mardi berkata, pihaknya bercadang untuk menyebarluaskan pemahaman masyarakat mengenai rasuah menerusi penulisan, memandangkan keahliannya termasuk guru, pensyarah, dan wartawan. Dalam jangka masa terdekat, ia juga mungkin menghasilkan buku dan artikel berhubung pencegahan rasuah, tambahnya. Yang Dipertua PRIBUMI Johor, Wan Hussin Wan Mohd Noor pula berkata, mereka akan membenarkan SPRM menggunakan persatuan itu sebagai alat untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat menentang rasuah. Beliau berkata, semenjak Oktober tahun lalu, ini adalah kali kedua mereka bekerjasama dengan SPRM dalam konteks terbabit. Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Mustafar Ali berharap jalinan kerjasama itu akan berterusan membabitkan pelbagai aspek termasuk tindakan dan usaha susulan.-Bernama