suria

"Semua Orang Politik Adalah Kawan Saya" - Pengerusi SPR

MOHD Hashim meletakkan sasaran untuk mengurangkan jumlah empat juta orang yang layak mengundi untuk mendaftar sebagai pengundi. -MOHD SAHAR MISNI/The Star

MENDENGAR suaranya yang lantang, tiada lain yang terlintas di fikiran kecuali dua perkataan bagi menggambarkan keperibadiannya - serius dan tegas.

Itulah tanggapan awal terhadap Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

Tutur katanya memang jelas walaupun sebenarnya anak kelahiran Kota Baru, Kelantan itu berada di dalam biliknya sambil menjawab soalan wartawan sebuah media tempatan lain, manakala wakil mStar Online pula menunggu giliran di luar bilik Pengerusi SPR itu.

Tidak dinafikan timbul kerisauan jika temubual secara santai berubah ‘mood’ kerana karektor Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) berusia 62 tahun itu.

Jika dilihat gambarnya yang terpampang di beberapa ruang sudut pejabat SPR di Putrajaya itu, bagaikan mengiakan tanggapan awal kami.

Apabila dipanggil masuk, Mohd Hashim yang ketika itu berada di kerusinya mempersilakan kami duduk dihadapannya dan bersedia untuk ditemubual walaupun pada sesi sebelumnya beliau telah menjawab pelbagai soalan selama hampir sejam.

“Okay boleh, selesa sikit kita berborak di sini,” katanya memberi respons serta merta, sekali gus melegakan kami apabila permintaan untuk meneruskan temubual di sofa dalam suasana yang lebih relaks.

Dan, bermula dari detik itu, temubual yang pada mulanya ditetapkan selama setengah jam sahaja berlarutan sehingga hampir 90 minit.

Anak keempat daripada 10 beradik itu adalah berketurunan Bugis walaupun dilahirkan di Kelantan.

“Saya pernah bercerita kepada Tan Sri Aziz (Mohd Yusof). Beliau pun Bugis. Tapi beliau Bugis yang duduk di istana, sebab tu cara beliau cakap pun lemah lembut.

“Tak macam saya ni. Saya jenis Bugis yang duduk di laut macam lanun, belum apa-apa dah nak berperang, bukan jenis lemah lembut,” katanya berseloroh.

Malahan, beliau mengakui mengharungi kehidupan sebagai penghuni di tepi pantai di Kelantan telah menjadikannya seorang yang lebih ‘vokal’ kerana terpaksa bercakap dengan nada yang kuat untuk 'melawan bunyi deruan ombak dan angin'.


SEDIA DISERANG

Apabila ditanya apakah darah Bugis yang mengalir dalam dirinya adalah petanda beliau seorang yang tidak gentar dan mampu berhadapan sebarang kemungkinan, sama ada tohmahan, ugutan dan kritikan pedas sebaik dilantik mengisi kerusi panas Pengerusi SPR itu, 24 Januari lalu MOhd Hashim berkata;

“Insya-Allah saya sudah bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan. Saya berserah kepada Allah dan berlindung dengan doa-doa ibu bapa saya.

“Tapi kalau orang nak buat khianat juga, tak boleh kata apa lah. Ilmu lebih daripada itu memang tak ada. Harapan saya tak lah sampai jadi tak baik, bukan kita nak bergaduh pun,” katanya dalam loghat Kelantan yang tebal.

Tetapi jangan pula ada yang menganggap anak kampung ini seorang yang mudah menyerah kalah kerana yang pasti, beliau telah menetapkan matlamat untuk menambahbaik fungsi SPR dan merangka strategi bagi menepis persepsi negatif yang selama ini dilemparkan terhadap suruhanjaya itu.

Mohd Hashim merancang meneruskan program kolaborasi dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai tanggungjawab sebagai pengundi.
Walaupun ia cabaran yang sama yang dihadapi pengerusi SPR terdahulu melibatkan isu pendaftaran pengundi, ketelusan pilihan raya dan persempadanan semula, namum bagi bapa kepada empat orang cahaya mata itu, tidak pernah menganggap sesuatu itu mustahil untuk ditangani.

Pemilik Ijazah Sarjana Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu ada alasannya sendiri untuk menetapkan sasaran bagi meletakkan SPR pada era pimpinannya di kedudukan yang lebih baik.

Semuanya itu akan menjadi lebih mudah jika mendapat kerjasama pemimpin parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang. Dan di sini, bonus bagi Mohd Hashim yang berpergalaman bekerja dan bergaul rapat dengan pelbagai pemimpin politik.

"Yang pegang jawatan, pucuk pimpinan politik hari ini bukan orang lain, kawan-kawan saya juga.

“Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) kawan saya. Waktu beliau jadi Setiausaha Sulit kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya adalah Setiausaha Sulit Kanan kepada Tan Sri Annuar Musa, jadi kami bukanlah orang asing sebaliknya sama-sama pernah menjadi pegawai kerajaan dan pegawai menteri,” jelasnya yang memulakan tugas dalam sektor awam di Kementerian Perusahaan Awam pada 1984.

Nama-nama lain yang turut dikenalinya termasuklah mereka yang merupakan rakannya semasa menuntut di UKM, antaranya ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Ahli Parlimen Sungai Petani daripada PKR, Datuk Johari Abdul.

"Takkan saya nak putuskan hubungan dengan mereka ini? Takkan mereka nak khianati persahabatan ini hanya kerana saya adalah pengerusi SPR," kata Mohd Hashim.

"Sama juga dengan (Datuk) Saifuddin Abdullah. Walaupun beliau tulis tentang saya dalam Twitter...dia tu macam adik kepada saya. Kalau jumpa, dia panggil saya abang.

"Sebab itu dia kata apa pun saya tak kecil hati. kalau jumpa tak jadi masalah. Yang jadi masalah ialah mungkin (pemimpin politik) yang baru-baru, mereka tak tahu. Saya pun tak terlibat dalam politik tapi orang politik adalah kenalan-kenalan saya,” ujarnya lagi.


BEBAS POLITK

Sungguh pun terbuka mendedahkan latar belakang kerjayanya bersama pemimpin parti pemerintah, Mohd Hashim menegaskan beliau tidak pernah terlibat atau menyertai mana-mana parti politik.

“Kalau saya nak declare, 10 tahun saya bersama Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha Sulit Kanan. Datuk Seri Noh Omar juga bos saya semasa di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Tapi ingin saya nyatakan sepanjang memegang jawatan SUSK kepada Tan Sri Annuar Musa, saya tak terlibat dalam parti politik. Saya bukan ahli Umno hingga sekarang, malah saya tidak pernah menjadi ahli mana-mana parti politik pun.

“Saya rasa inilah ciri-ciri mengapa saya diamanahkan (sebagai Pengerusi SPR). Saya pilih untuk terus kekal sebagai PTD tanpa perlu memutuskan persahabatan saya dengan kawan-kawan dalam politik,” katanya.

Jelas Mohd Hashim, selepas 16 bulan berkhidmat selaku timbalan pengerusi SPR, beliau akan meneruskan usaha-usaha yang dirintis oleh pengerusi-pengerusi terdahulu, selain melakukan penambahbaikan dalam operasi badan yang bertanggungjawab menguruskan pilihan raya di negara ini.

"Di SPR, kita tak boleh nak ada perubahan atau pembaharuan sesuka hati seperti di tempat lain kerana terikat dengan Perlembagaan dan akta. Saya tak boleh buat sewenang-wenangnya.

"Yang boleh dibuat dari sudut pentadbiran. Contohnya bagaimana kita nak menggalakkan orang datang mendaftar dengan kita. Daripada empat juta yang belum daftar, kita nak kurangkan dari masa ke masa, namun kaedah yang nak dibuat itu perlu ikut undang-undang," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Hashim berkata; "Sekarang kita pergi cari mereka, sebab itu kita kena buat banyak kolaborasi dan program kesedaran kepada rakyat supaya mereka sedar pentingnya mendaftar dan mengundi.

"Kalau daftar sahaja tapi tak mengundi tak bawa apa-apa makna, sebab itu kita kena didik mereka kerana segala-galanya berpunca daripada persepsi rakyat terhadap kewibawaan, ketelusan dan integrati SPR," katanya yang mahukan kerjasama media untuk merealisasikan matlamatnya itu.

Tempoh 36 tahun sebagai penjawat awam ternyata mampu membentuk cara kerja dan personalitinya yang pantang berundur, malahan berhasrat memastikan semua pihak yang terlibat sepanjang proses pilihan raya bersikap lebih matang dan tidak dibayangi emosi yang boleh merosakkan amalan demokrasi negara hanya kerana kehendaknya tidak tercapai.

Yang pasti, insan bernama Mohd Hashim Abdullah ini bukan mengisi jawatan yang disandang itu untuk memenuhi hasrat pihak tertentu, sebaliknya menganggap ia tanggungjawab dan amanah untuk negara tercinta.

"Kita dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, kita menjunjung amanah Seri Paduka Baginda supaya mengendalikan pilihan raya dalam keadaan aman, tenteram, adil dan telus," katanya mengakhiri perbualan.


PENGALAMAN DALAM PERKHIDMATAN


1979 - 1980: Eksekutif The Chartered Bank

02/04/1980 - 08/01/1984: Pegawai Tadbir DBKL

09/01/1984 - 15/06/1984: Penolong Setiausaha Bahagian Pentadbiran dan Kewangan Kementerian Perusahaan Awam (KPA).

16/06/1986 - 31/10/1990: Penolong Setiausaha Cawangan Istiadat di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

01/11/1990 - 10/12/1993: Setiausaha Sulit Kanan Kepada Menteri Belia dan Sukan.

11/12/1993 - 13/12/1999: Setiausaha Sulit Kanan Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar.

14/12/1999 - 15/04/2002: Jawatan Kumpulan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

16/04/2002 - 30/09/2004: Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Perancangan dan Penilaian, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD).

01/10/2004 - 13/05/2007: Setiausaha Bahagian di Bahagian Pembangunan Perniagaan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD).

14/05/2007 - 01/11/2007: Timbalan Ketua Setiasuaha (Pembangunan), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD).

02/11/2007 - 09/04/2009: Timbalan Ketua Setiasuaha (Usahawan), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD).

10/04/2009 - 31/12/2009: Pegawai Tugas Khas, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

01/01/2010 - 10/11/2010: Timbalan Ketua Setiasuaha (Perancangan), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

11/11/2010 - 05/07/2014:
Ketua Setiasuaha, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

05/09/2014 - 23/01/2016: Timbalan Pengerusi SPR.

24/01/2016 - kini: Pengerusi SPR
Mohd Hashim Abdullah, SPR

Artikel Berikut

Artikel Lain