IPOH: Gadis ini baharu sahaja berusia 17 tahun tetapi sudah berkahwin. Kini dia telah meninggal dunia selepas dipercayai ditumbuk sehingga mati oleh lelaki berusia 27 tahun yang dikahwininya. S. Durga Devi yang ditemui dalam keadaan terbaring di ruang tamu rumahnya dikatakan telah dipukul oleh suaminya di rumah mereka di Ladang Sengat, Simpang Pulai pada Ahad. Jiran yang terganggu dengan bunyi pertengkaran pasangan itu sepanjang malam bertindak menghubungi polis kira-kira pukul 8 pagi, kata Ketua Polis Daerah Ipoh, Aisten Komisioner Sum Chang Keong. Suami mangsa telah ditahan. Mayat Durga dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat. Pasangan tersebut berkahwin setahun yang lalu dan tidak mempunyai anak. Jiran mangsa yang ditemubual mendakwa pasangan tersebut tidak bergaul dengan orang sekeliling. Seorang jiran berkata dia pergi berjalan kaki kira-kira pukul 7.30 pagi apabila ternampak sebuah ambulans di luar rumah pasangan tersebut. "Apabila saya masuk ke dalam, saya terlihat gadis itu terbaring di atas lantai. Suaminya turut cedera di bahagian tangan. "Apabila saya bertanya apa yang berlaku, suaminya mendakwa empat lelaki telah memecah masuk ke dalam rumah dan memukul isterinya selain turu memotong salah satu jarinya," kata suspek. Namun, sebaik sahaja polis tiba dan memulakan siasatan, timbul versi berbeza mengenai insiden itu. Seorang jiran berkata pasangan itu tinggal di rumah tersebut lebih setahun. Dia berkata sering terdengar mereka kerap bergaduh tetapi tidak pernah campur tangan. "Mereka tidak pernah bercakap dengan sesiapa sahaja dan kami tidak berani bercakap dengan mereka. "Kadang-kala mereka terperap di dalam rumah dan ada kalanya mereka balik ke rumah pada siang hari dan keluar pada waktu malam," katanya. Lelaki tersebut tinggal bersama ibu bapanya di rumah tersebut. Namun, ibu kepada lelaki tersebut berpindah keluar dari rumah berkenaan selepas suaminya meninggal dunia.