KUALA LUMPUR: Tiada majlis rasmi Memperingati MH370 pada tahun ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai. "Namun, kita akan mengadakan sebuah majlis di parlimen pada 8 Mac, di mana Speaker (Dewan Rakyat) akan memberikan ucapan ringkas bagi memperingati tragedi itu," kata Liow kepada pemberita selepas menghadiri majlis pecah tanah di Sekolah Menengah Chung Hwa di sini, Isnin. Ketika ditanya sama ada operasi pencarian bangkai pesawat itu akan diteruskan jika tiada penemuan pada Jun tahun ini, Liow berkata keputusan itu akan diputuskan dalam mesyuarat tiga pihak antara Malaysia, China dan Australia. Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 pagi, 8 Mac 2014 dan hilang dari radar kira-kira sejam kemudian. Ia dijadualkan tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.