PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keluar Umno untuk kali kedua kerana menganggap parti itu kini lebih berperanan untuk mempertahankan presidennya. Mantan presiden Umno itu berkata, ia juga sebagai tanda protes terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. "Umno bukan lagi Umno dulu, saya tidak boleh jadi anggota untuk parti sebegini," katanya pada sidang media di sini, Isnin. Kali pertama Dr Mahathir membuat keputusan sama kerana tidak bersetuju dengan pentadbiran Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah pada 19 Mei 2008. Bagaimanapun, selepas Abdullah berundur, Dr Mahathir yang juga perdana menteri negara ini selama 22 tahun telah menyertai Umno semula pada 2009. Dr Mahathir mendakwa Umno adalah parti 'Najib' yang melindungi presiden parti itu ketika ini, malah semua dasarnya kini bagi memastikan Najib kekal sebagai perdana menteri. Bekas perdana menteri itu berkata, beliau membuat keputusan itu apabila Umno semakin bermasalah terutama selepas penggantungan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden parti minggu lalu. Ditanya apakah keputusannya akan menyebabkan ahli Umno turut keluar parti, Dr Mahathir berkata, beliau tidak membuat 'kempen' supaya ahli Umno mengikut jejaknya. Berhubung soalan sama ada beliau akan kembali menyertai Umno sekiranya Najib meletakkan jawatan, Dr Mahathir berkata: "Jika Umno kembali pulih... tetapi pada masa ini tiada lagi Umno." Katanya lagi, tidak timbul soal presiden kini 'lebih selamat' tanpa kehadirannya dalam Umno kerana parti itu tidak pernah mendengar suaranya selama ini. "Suara saya tidak lagi didengari. Malah saya juga tidak dibenarkan untuk bersuara kepada ahli Umno, menteri-menteri Umno," katanya. Menurut Dr Mahathir, keputusan itu bukan disebabkan marah tetapi lebih kerana apa yang dilakukan oleh Najib. "Saya cintakan negara ini. Saya tidak mahu ada yang musnahkan negara ini. Apa yang berlaku adalah 'lelaki ini' tidak pedulikan negara tetapi hanya memikirkan tentang dirinya sahaja," katanya. Menurut Dr Mahathir, isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut membuat keputusan untuk tidak lagi menjadi ahli Umno. "Hari ini saya umumkan. Surat hanya 'formaliti' sahaja," katanya mengenai surat penarikan diri sebagai ahli Umno.