KUALA LUMPUR: Seorang lelaki digelar 'Ustaz Kasanova' yang diburu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), pada Isnin mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah di sini terhadap enam pertuduhan berhubung setubuh luar nikah dan poligami tanpa kebenaran melibatkan empat wanita. Di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Nassir Abdul Ghani, tertuduh, Mohd Razis Ismail, 34, dituduh melakukan persetubuhan luar nikah dengan seorang wanita berumur 40 tahun. Selepas mendengar hujahan pendakwaan dan mitigasi tertuduh yang tidak diwakili peguam itu, mahkamah menetapkan 7 Mac depan untuk menjatuhkan hukuman bagi membolehkan mahkamah meneliti segala dokumen. Mohd Razis didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap wanita itu sehingga melahirkan anak. Kesalahan dilakukan di sebuah hotel di sini antara Mac hingga Mei 2012 mengikut Seksyen 23(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. Mohd Razis yang berbaju lokap berwarna kelabu, kelihatan tenang di kandang tertuduh dan mengangguk berkata: "Saya faham dan mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut". Mengikut fakta kes, hasil siasatan Jawi mendapati wanita itu telah memfailkan pengesahan pernikahan, tetapi pada 28 Jun 2011, Mahkamah Rendah Syariah di sini memutuskan pernikahan antara mereka adalah tidak sah. Mahkamah turut memerintahkan mereka dipisahkan selain wanita itu juga dihukum penjara selama tiga bulan dan disebat enam kali, namun selepas itu mereka masih tidak mematuhi undang-undang tersebut dan melakukan kesalahan sama sehingga melahirkan anak. Terdahulu, Pendakwa Syarie Kanan Zainor Rashid Hassin menawarkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin yang berkelulusan pengurusan dan profesional selain melaporkan diri di Jawi dua hari sekali. Dalam rayuannya, Mohd Razis memohon kepada mahkamah supaya dikenakan hukuman denda atas alasan dia hanya penjual penapis air kesihatan dan berpendapatan RM1,000 sebulan selain perlu menyara lapan anak yang masih kecil. Hakim Nassir membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin serta melaporkan diri di Jawi dua hari sekali. Di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Mohd Saifullah Hamzah pula, Mohd Razis mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan cuba berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dengan tiga wanita lain berumur 24, 35, dan 30 tahun dan dua pertuduhan lain. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tiga lokasi di Kedah; Golok, Thailand dan di sebuah rumah flat di Jalan Loke Yew, di sini, antara 4 April 2010 dan 26 Ogos 2012. Kesalahan itu mengikut Seksyen 133 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. Bagi dua pertuduhan lagi dia didakwa bernikah dengan wanita berumur 24 dan 40 tahun itu tanpa mendapat kebenaran pendaftar mahkamah mengikut Seksyen 40(2) akta yang sama, pada 4 April 2010 dan 26 Mei 2012. Mengikut fakta kes, Mohd Razis didapati menggunakan alamat tempat tinggal palsu selain menyembunyikan status perkahwinan dengan menyatakan dia masih bujang untuk mengaburi mangsa. Alamat asal tempat tinggalnya ialah Bangsar. Hakim Mohd Saifullah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah jaminan yang sama dan menetapkan tarikh yang sama iaitu 7 Mac ini untuk menjatuhkan hukuman. - Bernama