CYBERJAYA: Jumlah pembayar cukai individu dan syarikat meningkat, masing-masing sebanyak 3.6 peratus dan 3.9 peratus pada tahun lepas meskipun keadaan ekonomi global yang tidak menentu. Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata pertambahan jumlah pembayar cukai itu adalah hasil rangkaian jaringan yang diwujudkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan individu dan syarikat di seluruh negara. Katanya kejatuhan harga minyak dan gas di pasaran dunia turut memberi kesan kepada jumlah kutipan cukai keseluruhan tahun lepas, dengan RM121.186 bilion, susut sedikit berbanding RM133.7 bilion yang dikutip pada 2014. "Pungutan hasil cukai juga meningkat kepada 2.6 peratus tahun lalu. Kita berharap pungutan hasil cukai akan meningkat tahun ini. "Ini menunjukkan kecekapan dan prestasi LHDN dalam mengutip cukai walaupun negara berhadapan dengan kutipan hasil minyak dan gas berkurangan tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Hasil ke-20 di sini, Selasa. Ahmad Husni bersama kakitangan LHDN yang mengenakan uniform baharu. Turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang juga Pengerusi LHDN Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar. Menurutnya, usaha-usaha LHDN menjalankan pelbagai inovasi untuk memudahkan rakyat membayar cukai turut membuahkan hasil dengan peningkatan jumlah pembayaran cukai dari individu dan syarikat setiap tahun.-- Bernama