suria

Sultan Perak: Tangani Rasuah Tanpa Rasa Takut, Pilih Kasih

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan anugerah Sepanjang Hayat kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman bersempena Utusan Business Awards 2015 pada Selasa. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Gejala rasuah mesti dikendalikan oleh agensi-agensi berkaitan tanpa rasa takut atau pilih kasih, demikian titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Menurut baginda, kebenaran berdasarkan undang-undang mesti dipertahankan kerana ia adalah satu tanggungjawab yang bukan sahaja kepada Allah, tetapi juga negara.

"Rasuah adalah barah utama yang dikatakan merebak ke tulang belakang negara.

"Ia seperti anai-anai yang semakin merebak dan menyebabkan rukun negara reput," titah baginda ketika berucap pada majlis Anugerah Perniagaan Utusan 2015 pada Isnin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Tun Rahah Mohammad Noah, ibu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Baginda bertitah bahawa kegagalan untuk menangani rasuah secara serius, berkesan dan komited berpotensi untuk melumpuhkan negara.

Jelas baginda ia menyebabkan rakyat menderita seperti rakyat di negara tidak membangun.

Tambah baginda mana-mana salah laku mesti dilaporkan tanpa rasa takut atau berat sebelah.

"Rasuah adalah rasuah tanpa mengira siapa yang melakukannya.

"Rakyat perlu dipupuk untuk membenci rasuah dan menolak pemimpin yang rosak.

"Rakyat harus melihat rasuah dan merasa jijik dengannya," katanya.

Artikel Lain