PUTRAJAYA: Wisma Putra memanggil Wakil Kedutaan Besar Filipina ke negara ini, Maria Antonina M. Mendoza-Oblena berkaitan kenyataan salah seorang calon Presiden Filipina yang berhasrat meneruskan tuntutan ke atas Sabah. Menurut Kementerian Luar, kenyataan yang disiarkan akhbar tempatan Filipina baru-baru ini menyatakan calon berkenaan akan meneruskan tuntutan itu jika dilantik sebagai Presiden republik itu semasa Pilihanraya Umum Filipina yang dijadualkan berlangsung pada 9 Mei 2016. "Kerajaan Malaysia sekali lagi menegaskan pendiriannya bahawa Malaysia tidak mengiktiraf dan tidak akan melayan sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak ke atas Sabah," menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa. Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian dari Malaysia sejak 16 September 1963