suria

Empat Mengaku Tidak Bersalah Lakukan Halangan Salah Terhadap Dua Warga Singapura

GEORGE TOWN: Empat lelaki pada Rabu dihadapkan ke Mahkamah Majistret George Town di sini atas empat pertuduhan melakukan halangan salah terhadap dua beradik warga Singapura, Februari lepas.

Chee Kok Fang, 37, Loke Kah Wooi, 23, E. Boonroy,30, dan Koy Kean Teong, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret L.Umma Devi.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan halangan kepada Kenneth Ng Chee, 28 dan Gabriel Ng Chia How, 27, di beberapa lokasi berasingan antaranya di Kedai Kopi Seong Huat, Jalan Larut dan Kompleks Persiaran Gurney, Jalan Gurney di sini, di antara 4 petang 22 Februari hingga 2.45 petang, 24 Februari lepas.


Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sebulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh dan menetapkan 13 April depan untuk sebutan kes.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee manakala kesemua tertuduh diwakili peguam R. Puran. Kesemua tertuduh membayar jaminan berkenaan.


Artikel Lain