GEORGE TOWN: PKR menyalahkan 'musuh'nya yang memasang sepanduk mengkritik Ketua Menteri Lim Guan Eng di Jalan Waterfall dan Jalan Gottlieb, di Pulau Pinang dan di Nibong Tebal. Pengarah strategiknya Sim Tze Tzin berkata, ia jelas bertujuan untuk melemahkan hubungan baik antara parti itu dan DAP. "Kita tidak akan merendahkan martabat kita dengan melakukan perkara seperti itu. Kami sentiasa bekerjasama dengan sekutu kami dalam Pakatan Harapan," katanya. Tze Tzin mengulas mengenai sepanduk yang berbunyi 'Lim Guan Eng Tak Patut Pecat Adun Bukit Tengah Ong Chin Wen & Adun Kebun Bunga Cheah Kah Peng' bersama-sama dengan gambar Guan Eng di tengah, diapit oleh gambar Chin Wen dan Kah Peng. Bagaimanapun, sepanduk di pulau itu telah diturunkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang kerana ia diletakkan secara haram. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam dan Perlesenan MBPP Ong Ah Teong berkata, majlis itu mempunyai satu pasukan untuk memeriksa sepanduk, bendera dan kain rentang yang diletakkan di sepanjang jalan raya. Setiausaha Politik Ketua Menteri, Wong Hon Wai enggan mengulas. Adun Kebun Bunga Cheah Kah Peng dan Adun Bukit Tengah Ong Chin Wen dipecat daripada jawatan masing-masing dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan Pulau Pinang dipecat bulan lepas selepas mereka berkecuali daripada mengundi usul penambakan tanah di sidang Dewan Undangan Negeri.