PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan agenda pembangkang untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dihukum penjara tidak termasuk dalam kempen 'Selamatkan Malaysia' yang dilancarkannya. Menurut bekas perdana menteri itu, matlamat utama yang dipersetujui menerusi 'Deklarasi Rakyat' yang turut dipersetujui pimpinan pembangkang ialah untuk menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri. "Apa yang kami pentingkan ialah untuk jatuhkan Datuk Seri Najib," katanya pada sidang media di sini, Jumaat. Terdahulu, Dr Mahathir ditanya pemberita sama ada perjuangannya bersama pimpinan pembangkang turut membabitkan kempen untuk membebaskan Anwar. "Saya kempen untuk rakyat supaya jatuhkan Najib. Anda kena faham...ada gerakan rakyat dan ada gerakan parti," katanya. "Soal pembangkang tak timbul di sini. Kita berada di sini sebagai rakyat Malaysia. Selain itu Dr Mahathir turut menolak tanggapan kononnya tindakan beliau bersama pembangkang akan menjatuhkan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN). "Saya bukan kempen menolak BN, saya kempen menentang Najib. Tak ada kaitan dengan Umno atau mana-mana parti politik. "Ini berkaitan rakyat yang pentingkan mengenai masa depan Malaysia," katanya.