JOHOR BAHRU: Walaupun mata kanannya tidak nampak, Quintina Tan Guey Juan, 18, tidak pernah menjadikan kecacatannya sebagai penghalang untuk mendapat keputusan cemerlang. Bekas pelajar aliran Sains SMK (P) Sultan Abu Bakar ini mendapat 9A + dan 1A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun berdepan masalah dengan mata pelajaran Sejarah. "Saya tidak pernah membezakan diri saya dengan orang lain atau memberi alasan kecacatan untuk mendapatkan sesuatu kesempurnaan," katanya kepada The Star selepas menerima anugerah kecemerlangan daripada Jabatan Pendidikan Johor, di sini, Khamis. Quintina berkata, dia juga tidak pernah membiasakan dirinya dengan jadual pembelajaran yang ketat. Sebaliknya, dia memberi tumpuan penuh dalam kelas dan ketika membuat rujukan. "Saya suka subjek Kimia dan berharap dapat masuk ke bidang perubatan, tetapi buat masa ini saya tak mahu tergesa-gesa dan mahu mendedahkan diri saya dalam bidang itu dahulu sebelum membuat keputusan mengenai bidang yang perlu diutamakan," katanya. Seorang lagi calon istimewa yang tabah melalui segala rintangan dan akhirnya mencapai keputusan cemerlang adalah pelajar Sains IT A. Indran, 18. Bekas pelajar SMK Pasir Gudang 3 ini mengalami 80 peratus cacat pendengaran tetapi tersenyum lebar selepas menerima anugerah kecemerlangan dengan keputusan 1A+, 3A, 2A-, 2B+, 1C dan 1E dalam peperiksaan SPM. "Saya berterima kasih kepada ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan yang memberikan sokongan dan bimbingan tidak henti-henti," katanya sambil menambah dia menghabiskan dua jam setiap hari untuk membuat rujukan. Indran kini berharap dapat menempatkan dirinya di sebuah politeknik tempatan dan mendapat ijazah perakaunan, memandangkan subjek kegemarannya adalah Matematik. "Saya percaya dengan kefahaman yang kukuh dalam Matematik, saya mampu berjaya, terutama dalam perniagaan. "Saya tidak pernah meletakkan diri di bawah dan walaupun berdepan cabaran ketika di sekolah rendah, saya dapat menyesuaikan diri dengan kekurangan saya dan memberi tumpuan kepada pelajaran di peringkat menengah", katanya. Di Pulau Pinang, pelajar SMJK Chung Ling Butterworth Daniel Tan Wei Ian, 18, yang mendapat 12A dengan 9A+ membuktikan bahawa aktif dan sibuk dengan aktiviti kokurikulum bukan penghalang untuk memperoleh keputusan peperiksaan yang baik.